KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan mempermudah prosedur pinjaman kepada usahawan susulan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dihadapi untuk memulakan semula perniagaan ekoran pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Ketua Setiausaha kementerian itu telah diminta untuk menjalankan kajian bagi meneliti semula proses berkaitan.

Menurutnya, ini berikutan terdapat banyak perusahaan yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat hingga 9 Jun ini.

“Kita telah meminta Ketua Setiausaha (MEDAC) untuk buat satu kajian supaya semua proses lama yang merumitkan dan memakan masa (dihapuskan)…saya tak nak lagi dah. Saya nak bawa prosedur baharu supaya bantuan kepada peniaga dapat dipermudahkan.

“Berikutan keadaan sedemikian, kita telah membuka dua saluran bank dan satu koperasi sebagai sumber kewangan iaitu Bank Rakyat, SME Bank Bhd dan Tekun Nasional. Apabila sektor ekonomi dibuka sepenuhnya, usahawan dapat menggerakkan perniagaan mereka secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan 400 pek juadah berbuka puasa sumbangan UDA Holdings Berhad (UDA) kepada warga kerja Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini, semalam seperti deipetik Bernama.