KUALA LUMPUR: Berikut ialah senarai penafian berita tular dalam media sosial oleh agensi yang bertanggungjawab melalui kenyataan media Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) pagi ini  yang dipapar Bernama.

  1. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan sebuah kedai runcit milik warga asing di Hartamas beroperasi semula setelah dikenakan tindakan pada 8 Mei lalu seperti yang tular di media sosial.

DBKL menjelaskan semakan mendapati premis tersebut berlesen dan dimiliki oleh warganegara Malaysia serta mematuhi UUK 20 Undang-Undang Kecil Tred, Pelesenan dan Perindustrian (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 yang membenarkan pelesen menggaji warga asing yang mempunyai permit kerja sah. DBKL memaklumkan penguatkuasaan telah dikenakan ke atas premis berdekatan dan masih lagi ditutup hingga kini.

  1. Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Negeri Sembilan menafikan penjaja atau peniaga yang gerainya dirobohkan oleh MBS dalam tempoh PKP dan PKPB tidak akan dibenarkan berniaga semula.

MBS menjelaskan penjaja berkenaan boleh memohon untuk mendapatkan semula peralatan perniagaan mereka daripada MBS selepas tamat tempoh PKPB bagi membolehkan mereka kembali berniaga.