Banyak ironi yang akan berlaku dalam persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei ini.

Politik memang penuh dengan keanehan, ketaksangkaan dan keluarbiasaan.

Lebih-lebih lagi, apabila ia membabitkan orang yang bernama Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pemimpin berusia 94 tahun ini terus memberi kejutan demi kejutan.

Walaupun sudah berusia 94 tahun, beliau bagai tidak pernah mahu berundur daripada politik.

Dialah yang terakam dalam sejarah sebagai Perdana Menteri yang menjatuhkan dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri.

Dialah pemimpin yang menyebabkan kerajaan pimpinannya jatuh Februari lalu.

Kini dia mahu berkuasa kembali selepas dua kali menjadi Perdana Menteri.

Dia jugalah Perdana Menteri yang memecat timbalannya.

Dialah yang menyebabkan timbalannya  disumbat ke dalam penjara.

Dialah juga yang bermusuhan hampir 20 tahun dengan bekas timbalannya itu.

Dialah juga tanpa rasa malu sanggup berjumpa dengan musuh politiknya itu di mahkamah.

Semata-mata kerana mahu bekerjasama dan berkuasa kembali. 

Ya, untuk pertama kali dialah juga yang menyebabkan parti majoriti tidak diberi jawatan sebagai Perdana Menteri. Sebaliknya, parti pimpinannya, Bersatu, yang hanya memiliki 13 kerusi ketika itu menjadi parti ‘dominan’.  Hebat tak Mahathir?

Mahathirlah juga yang pernah memperkenalkan sistem giliran ketua menteri di Sabah. 

Dan, semua orang ikut apa yang dia cakap walaupun sistem itu lebih banyak membawa keburukan dan punya banyak kelemahan.

Kemudian berjanji untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri, kepada tokoh itu. Tetapi apabila sampai waktunya dia keberatan.

Dia betul-betul  menerapkan falsafah politik Machiavelli yang terkandung dalam buku The Prince. Tujuan menghalalkan cara.

Pemimpin Umno, Datuk Seri Ahmad Shaberi Cheek menyifatkan Mahathir lebih Machiavelli daripada Machiavelli.

Mahathir digambarkan memiliki watak dan perwatakan singa dan musang sekali gus.

Dia digambarkan tidak mempunyai rasa belas kasihan terhadap musuh politiknya.

Dia juga punya tipu muslihat  seperti musang dalam politik. Tengok apa yang jadi kepada  Datuk Seri Anwar Ibrtahim?

Dalam persidangan Dewan Rakyat  minggu depan, Mahathir  akan duduk di kerusi pembangkang walaupun parti yang dia menjadi pengerusi berada di pihak kerajaan.

Parti itu berpecah dua kerana tindakan beliau sendiri. Mahathir tidak harus menyalahkan pihak lain; apa yang berlaku sekarang ialah bikinannya sendiri.

Bayangkan, dalam sejarah politik negara, sebuah parti politik berada di dua pihak: satu pihak di pihak kerajaan dan satu pihak lagi sebagai pembangkang. Namun, tidak banyak pemimpin parti mahu ikut Mahahtir. Kali ini baru Mahathir tahu tinggi rendahnya langit.

Lebih aneh lagi, ialah bagaimana beliau sebagai Pengerusi parti mahu menjatuhkan Presiden partinya melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat. Apakah yang ada dalam perut Mahathir? Apakah yang ada dalam fikiran dan perasaannya?

Memang dunia politik begitu aneh dan penuh ironi.  

Dunia politik menjadi lebih aneh lagi apabila ia membabitkan orang bernama Mahathir.

Beliau sentiasa mabuk kuasa, taasub kuasa dan gila kuasa. Dia tak pernah puas walaupun sudah lebih 60 tahun dalam politik dan  kini menuju usia 95 tahun.