BELGIUM: Dalam usaha mematuhi arahan kerajaan supaya sentiasa mengamalkan penjarakan sosial, seorang ibu yang ingin makan menu McDonald “menaiki”
kereta kadbod yang diciptanya.

Memandangkan restoran itu jenis pandu lalu dan dia tidak memiliki kereta, Nathalie Moermans membuat kereta dari kadbod agar dia dapat membeli melalui kaunter pandu lalu tersebut.

Kisah Nathalie dan anaknya yang kini tular di media sosial menyebabkan netizen geli hati dan terhibur dengan gelagat serta kreativiti mereka.

Nathalie Moermans dan anak perempuanya yang berusia 16 tahun itu “memandu” kereta kadbod itu sejauh 550 ela dari rumah mereka menuju MacDonald.

Menurut Nathalie, anaknya memberitahu dia teringin membeli makanan di McDonald, tetapi disebabkan arahan PKP restoran itu hanya menerima tempahan pandu lalu.

Ekoran itu dia mencadangkan mereka membina kereta kadbod.

Pada mulanya anaknya tidak setuju dengan idea tersebut dan memberitahu dia malu melakukannya. Nathalie tidak mengendahkan komen anaknya sebaliknya terus menghasilkan kereta tersebut.

Apabila anaknya mula membantu, Nathalie memberitahunya pengalaman ini akan menjadi memori manis untuk diceritakan kepada anak cucu mereka nanti.

Plat kereta mereka berdua itu tertulis COVID-19, disertakan dengan komen di kadbod tersebut yang bertulis: “Maaf, saya mahu membeli makanan MacDonald tapi saya tak mempunyai kereta”.