SELURUH dunia dijangkiti pandemik Covid-19 sejak virus itu merebak di Wuhan, China pada Disember lalu.

Kini angka yang dijangkiti melepasi empat juta manakala yang meninggal menjangkau 283,850 orang. Pandemik ini memberi kesan besar, mendalam dan berpanjangan terutama dari segi sosioekonomi negara terbabit.

Ekonomi dunia jadi tunggang terbalik disebabkan langkah penguncian, perintah kawalan pergerakan (PKP) atau darurat yang diambil oleh negara terbabit sebagai langkah mengekang penularan virus maut itu.

Dari segi ekonomi, pertumbuhan ekonomi menguncup dan mengalami kemelesetan teruk, sebahagiannya terburuk dialami sebahagian negara dalam beberapa dekad.

Ancaman terhadap ekonomi, sama teruk kalaupun tidak lebih teruk, berbanding ancaman terhadap kesihatan dan keselamatan. Tidak hairanlah ada yang beranggapan dunia berdepan malapetaka ekonomi yang dahsyat.

Ini masa pancaroba, penuh ujian dan cabaran. Hakikat bahawa sekarang masa yang amat mencabar turut diakui oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika mengumumkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang berjumlah RMRM300 juta.

“Sekarang ialah masa yang sangat mencabar bagi kita kerana banyak industri dan perniagaan tidak dapat beroperasi seperti biasa.

Ramai telah kehilangan punca pendapatan. Ini secara langsung telah menjejaskan kehidupan seharian masyarakat secara keseluruhannya bukan sahaja di Sarawak bahkan di seluruh Malaysia dan dunia,” katanya.

Pada Jumaat, Amerika Syarikat (AS) mencatatkan jumlah pengangguran baharu April pada 20.5 juta, menjadikan jumlah pengangguran keseluruhan 14.7 peratus di negara itu.

Ini merupakan jumlah terbesar dalam sejarah AS.
Jabatan Buruh AS berkata ini sekali gus menghapuskan peningkatan jumlah pekerjaan yang diwujudkan dalam sedekad hanya dalam tempoh sebulan.

Kepantasan dan jumlahnya di luar imaginasi di sebalik dakwaan Presiden Donald Trump bahawa pekerjaan yang hilang itu akan cepat kembali sebaik sahaja Covid-19 berakhir.

Firma perunding antarabangsa McKinsey pula mengumumkan bahawa Covid-19 meletakkan 59 juta pekerjaan di negara-negara Eropah dalam risiko.

Manakala kesan wabak virus korona di India mengakibatkan ledakan angka pengangguran hingga 122 juta orang pada April.
Menurut Pusat Pemantauan Ekonomi India (CMIE), tingkat pengangguran India sekarang mencapai rekod tertinggi 27.1 peratus.

Pengangguran mencapai 23.5 peratus pada April, lonjakan tajam dari 8.7 peratus pada Mac.
Sementara itu, pada awal April, lebih daripada 1.2 juta pekerja hilang pekerjaan di Indonesia susulan impak ekonomi akibat penularan wabak Covid-19.

Keadaan ini berlaku selepas 39,377 syarikat atau perusahaan terpaksa memberhentikan pekerja mereka atau diberi cuti tanpa gaji akibat kerugian atau kegagalan beroperasi.

Pengangguran di Malaysia meningkat 17.1 peratus kepada 610,500 orang dengan kadar pengangguran 3.9 peratus pada Mac lalu, menurut statistik utama tenaga buruh, keluaran Jabatan Perangkaan.

Ini berbanding 521,300 ribu orang bulan yang sama pada 2019.
Kadar pengangguran pada Mac lalu meningkat kepada 3.9 peratus. Kadar pengangguran tertinggi ini dipengaruhi terutamanya oleh impak negatif Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas pasaran buruh.

Daripada bilangan penganggur tersebut, penganggur siswazah menyumbang sebanyak 29.3 peratus.

Kategori penganggur bagi kumpulan umur belia 15 hingga 30 tahun mencatatkan kadar pengangguran tertinggi iaitu 6.9 peratus diikuti 31 hingga 45 tahun sebanyak 1.4 peratus, dan 46 hingga 64 tahun sebanyak 1.1 peratus.

Jabatan itu berkata, kadar pengangguran tertinggi negara pernah dicatatkan ialah 7.4 peratus pada 1986.

Fenomena ini dikaitkan dengan penguncian, yang menyebabkan sebahagian besar kegiatan ekonomi terhenti, kecuali perkhidmatan penting seperti hospital, apotek dan persediaan makanan.

Apabila banyak kilang, kedai, perusahaan dan sebagainya yang berkaitan ekonomi ditutup atau beroperasi di bawah kebiasaan, ia memberi kesan langsung kepada pekerjaan.

Namun penguncian, PKP, darurat atau apa-apa sahaja langkah yang diambil untuk mengekang penularan pandemik berkenaan adalah sesuatu yang perlu. Membenarkan sektor ekonomi untuk bergerak juga adalah demi memastikan survival. Kalau tidak, ekonomi yang sakit akan semakin tenat.

Banyak negara, termasuk negara kita tidak punya pilihan, melainkan perlu menutup sempadannya kepada dunia luar. Apabila sempadan ditutup, segala sektor berkaitan dengan pengangkutan, penerbangan, perhotelan, restoran dan seumpamanya juga tidak dapat beroperasi seperti biasa.

Ramai pekerja yang dibuang, diberi cuti atau diberi separuh gaji. Akibatnya, mereka hilang punca pencarian atau meraih pendapatan yang jauh lebih rendah sehingga sukar untuk menampung keperluan hidup, terutamanya makanan, sewa rumah atau membayar pinjaman kereta, rumah dan seumpamanya.

Dalam keadaan demikian, kepada siapakah mereka hendak bergantung? Tidak hairanlah ada yang meminjam daripada kawan-kawan atau saudara-mara.

Malah, ada yang terpaksa pergi ke kedai pajak gadai untuk menggadai barang kemas dengan harapan dapat ditebus kembali ketika keadaan kewangan sudah stabil kembali.

Hari tidak selalunya cerah. Hidup tidak selalunya indah. Banyak pekerja yang menjadi mangsa keadaan sekarang disebabkan Covid-19.

Majikan yang terhimpit dan tersepit, tidak punya pilihan, kecuali mengambil langkah drastik dengan menutup syarikat. Bagi majikan itu merupakan jalan terakhir walaupun sukar dan pahit kerana mereka juga tidak dapat terus menanggung kerugian.
Hilang pekerjaan adalah suatu mimpi ngeri bagi pekerja.

Pekerjaan bukan sekadar memastikan wang masuk ke dalam bank setiap bulan dan dapur berasap setiap hari.
Sebaliknya, memiliki pekerjaan ada kaitan dengan maruah diri. Seorang yang hilang pekerjaan bagai hilang harga diri.

Tidak ada sesiapa yang mahu hilang pekerjaan. Itulah sebabnya pekerja mahu bekerja di organisasi, syarikat atau tempat yang stabil dan mampu menjamin pekerjaan sepanjang hayat.

Apabila kehilangan pendapatan dan sekali gus kehilangan pendapatan berlaku, ramai yang tidak dapat meneruskan survival mereka.

Ya, bagaimana untuk membayar sewa, melangsaikan pinjaman dan membeli barang keperluan asas. Jadi, tidak hairanlah jumlah mereka yang meminta bantuan kerajaan, bergantung kepada bank makanan, berhenti membayar bil dan sewa, telah meningkat di AS.

Banyak golongan menengah telah hilang status berkenaan, manakala golongan miskin semakin miskin. Di negara itu, sektor hospitaliti menyaksikan 7.7 juta hilang pekerjaan pada April, peruncitan 2.1 juta dan pembuatan 1.3 juta.

Malah pekerjaan kolar putih dan pekerjaan berkaitan kerajaan yang selalunya dapat bertahan juga menyaksikan kehilangan pekerjaan, dengan syarikat kehilangan 2.1 juta pekerjaan, manakala kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan 2.1 juta.

Malah, dalam sektor kesihatan seperti pergigian, pembedahan kecil dan hal lain selain daripada yang berbentuk kecemasan menyaksikan 1.4 juta pekerjaan hilang.

Jadi, bersedialah untuk berdepan masa sukar selepas ini khususnya bagi yang sudah hilang pekerjaan. Ini realiti pahit yang perlu diterima. Memang bukan mudah untuk mencari dan mendapatkan pekerjaan ketika ada syarikat yang bakal tutup atau mengecilkan operasinya.

Bagi yang hilang pekerjaan, perlu segera meneroka peluang lain seperti berniaga secara dalam talian atau guna konsep e-dagang. Kelihatannya, perniagaan ini semakin mendapat perhatian terutama ketika PKP ini dan dilihat bakal mendominasi sektor pekerjaan masa hadapan.

Manfaatkan sebaik mungkin pengalaman, kemahiran dan ilmu yang dimiliki untuk meneruskan kehidupan.

Ketika negara dan negeri berdepan gelora ekonomi yang dahsyat sehingga rakyat terbanyak terkena tempiasnya, maka bantuan kerajaan amat diperlukan. Kerajaan yang prihatin dan peka akan nasib yang menimpa rakyatnya tidak akan membiarkan rakyatnya menanggung derita keseorangan.

Rakyat di Sarawak bernasib baik apabila Kerajaan Negeri memperkenalkan Pakej Bantuan Khas sarawakku Sayang (BKSS).

Tujuannya bagi menyelamatkan sektor ekonomi dan perniagaan dan meringankan beban kewangan yang ditanggung rakyat.
Secara keseluruhannya, jumlah suntikan dana kepada ekonomi Sarawak melalui Pakej BKSS 2020 adalah berjumlah RM2.55 bilion iaitu melalui, iaitu BKSS 1.0 berjumlah RM1.15 bilion; BKSS 2.0 berjumlah RM1.11 bilion; dan BKSS 3.0 berjumlah RM0.30 bilion.

Kata Abang Johari: “Saya berharap Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 3.0 dapat meringankan beban kewangan rakyat dan para peniaga yang terkesan akibat wabak ini. Dalam keadaan yang sukar sekarang ini, saya juga berharap bantuan ini dapat membantu memulihkan ekonomi kita dan dapat menyediakan landasan yang kukuh untuk terus makmur pada masa hadapan.”

Kita perlu menghadapi hari muka dengan tabah, sabar dan istiqamah. Kita tidak harus mudah menyerah kalah. Insya-Allah kita akan menang dalam perang melawan Covid-19 dan ekonomi kita akan kembali teguh.