KUCHING: Cuepacs Negeri Sarawak menyambut baik pengumuman Pakej BKSS 3.0 yang melibatkan insentif untuk petugas barisan hadapan.

Pengerusinya Ahmad Malie berkata, ia membuktikan Kerajaan Sarawak prihatin terhadap mereka yang bertugas di barisan hadapan.

“Malah Ceepac turut menghargai keprihatinan kerajaan ke atas pengorbanan petugas barisan hadapan dalam usaha memutuskan penularan Covid-19,” katanya menerusi kenyataan baru-baru ini.

Katanya, masyarakat juga perlu memberikan kerjasama kepada petugas barisan hadapan untuk memutuskan penularan pandemik Covid-19 tersebut.

‘“Caranya mudah dengan mematuhi arahan duduk di rumah. Walaupun kini beberapa kelonggaran diberi, tetapi kita perlu bersama-sama memerangi perang ini,” tegasnya.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan insentif kepada anggota tambahan tersebut pada 8 Mei lepas di bawah pakej BKSS 3.0.