KUALA LUMPUR: Demi memastikan pakej ransangan ekonomi lebih berkesan dan agar ia mencapai sasaran untuk membantu rakyat yang mengalami kesusahan, maka Bantuan Prihatin Nasional (BPN) perlu dipercepat dan diperluaskan.

Menurut Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dari segi keberkesanan BPN untuk merangsang ekonomi pula, adalah lebih baik orang yang tidak layak mendapat BPN dapat BPN berbanding dengan situasi jika ada orang yang perlu mendapat bantuan tertinggal tidak dapat bantuan atas alasan birokrasi.

“Kita terdengar banyak keluhan daripada ramai rakyat terutama Jabatan Netizen Negara bahawa mereka masih belum mendapat BPN seperti yang dijanjikan. Keluhan-keluhan tersebut telah banyak dimuat naik di media sosial sejak beberapa minggu yang lalu. Sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan betul, ia akan memberikan imej negatif kepada kerajaan dan kepada Pakej Rangsangan Ekonomi itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

“Saya tidak tahu apa masalahnya; jika permohonan mereka yang memohon bantuan telah diluluskan tapi pembayaran masih belum dibuat atas alasan birokrasi, maka kerajaan perlu mempercepatkan pembayaran bantuan tersebut. Ini kerana, bagi ramai pemohon, wang BPN ini sangat dinanti-nantikan terutama bagi mereka yang dipotong gaji, dan terutamanya mereka yang kehilangan sumber pendapatan sepanjang tempoh PKP,” ujar beliau.

Kata Zahid lagi, antara masalah yang diutarakan oleh orang ramai adalah sesiapa yang ada mendaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), secara automatik golongan ini tidak layak untuk mendapat BPN, sebaliknya mereka perlu memohon Geran Khas Prihatin (GKP). Bantuan yang diberikan melalui GKP ini berjumlah RM3000.

“Kekhuatiran saya adalah bagi pemohon BPN yang satu ketika dulu pernah mendaftar perniagaan dengan SSM tapi kini mereka sudah tidak lagi aktif berniaga. Mungkin sekarang mereka sudah kembali menjadi pekerja ataupun bekerja sendiri dengan pendapatan yang tak seberapa. Lebih malang lagi jika perniagaan yang cuba mereka ceburi mengalami kerugian dan kini tidak punya sumber pendapatan sama sekali,” jelasnya.

“Dari segi pertimbangan ekonomi, mereka ini perlu dimasukkan dalam kategori yang berkelayakan bagi mendapat BPN. Tetapi malangnya mereka tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan kerajaan untuk melayakkan mereka mendapat bantuan atas alasan kerana mereka pernah mendaftar perniagaan walaupun perniagaan itu sudah tidak aktif,” kata Zahid lagi.