KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mempersoalkan kenyataan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri  Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim  yang menyatakan: “Kami tidak mengiktiraf kerajaan hari ini”.

Berikut ialah kenyataan Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO menerusi laman Facebooknya:

Soal tuduh Kerajaan pintu belakang kita dah dengar. Tapi kali pertama mereka sebut “tidak iktiraf” secara keras dan jelas.

Nak tanya satu sahaja.

Bila keluar kenyataan sebegini, ada atau tidak kesedaran:

– yang pilih Perdana Menteri,

– yang selesaikan krisis akibat peletakan jawatan PM-7 tempoh hari,

– yang temu duga setiap ahli Parlimen,

– yang memelihara keluhuran Perlembagaan,

– yang selama seminggu setiap hari menggunakan kebijaksanaan sebelum membuat keputusan,

… siapa?

Jadi, kalau bukan sekadar tidak setuju keputusan, tetapi apabila sudah sehingga sebut tidak iktiraf Kerajaan hari ini, sebenarnya tidak iktiraf apa?

Mahathir dan Anwar dalam kenyataan bersama semalam berkata, mereka tidak mengiktiraf kerajaan yang ada hari ini kerana ia ditubuhkan tanpa mendapat mandat rakyat.