KUCHING: Langkah Petronas bersetuju  membayar Cukai Jualan Hasil petroleum (SST) sepenuhnya untuk 2019  kepada Kerajaan Sarawak dan menarik balik rayuan mereka harus dianggap sebagai pengiktirafan terhadap hak Perlembagaan Negeri untuk mengenakan SST terhadap produk petroleum, kata Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Persekutuan dan Negeri dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Jelas beliau ia juga diterima  penghakiman Mahkamah Tinggi yang menyatakan Sarawak mempunyai kuasa Perlembagaan mengenakan SST.

“Dengan menarik balik rayuan, Petronas bersetuju untuk terikat dengan keputusan Mahkamah Tinggi apabila Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa hak-hak Sarawak dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan syor di bawah Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap dakwaan Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh  yang mempersoalkan  tindakan kerajaan Sarawak yang bersetuju menerima pembayaran RM2 bilion daripada Petronas bagi  SST lima peratus menerusi penyelesaian di luar mahkamah.

Hasidah berkata, Kerajaan Negeri di bawah GPS  terus komited untuk mempertahankan hak kedaulatan Sarawak terhadap sumber minyak dan gasnya sebagaimana dibuktikan dengan membawa Petronas ke mahkamah bagi tuntutan bayaran SST.

Petronas sebelum ini enggan membayar SST yang mulai dikuatkuasakan sejak Januari 2019 ketika syarikat minyak lain akur dengan melangsaikan cukai terbabit. Ini menyebabkan Kerajaan Sarawak mengheret syarikat minyak itu ke mahkamah.

“Kerajaan Negeri akan menyelesaikan semua masalah lain menerusi rundingan yang  berlangsung dengan Kerajaan Persekutuan dan Petronas. Hasil rundingan ini akhirnya  akan membawa kepada lebih banyak pelaburan dalam sektor minyak dan gas untuk mengekalkan pertumbuhan mampan industri berkaitan,” tegasnya.

“Ini memungkinkan negeri  Sarawak menerusi Petroleum Sarawak Bhd (Petros), meningkatkan  pembabitannya dalam industri huluan dan hiliran petroleum dengan mendapatkan bahagian lebih saksama  daripada pendapatan minyak dan gas, selain produk petroleum yang dikeluarkan dan dihasilkan di Sarawak,”  katanya lagi.