Endemik politik merujuk kepada situasi yang berlaku dalam masyarakat khusus atau negara tertentu. Dalam konteks Malaysia, pertukaran kerajaan Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional mengakibatkan terdapatnya tempoh kira-kira dua minggu negara tanpa kerajaan apabila berlakunya konflik politik yang dikenali sebagai langkah Sheraton. Kelompangan ini mempengaruhi peningkatan pandemik Covid-19 apabila perhatian khusus menjadi terabai.
Kini berlaku lagi krisis yang dijangka akan berlaku dalam politik nasional apabila usul undi tidak percaya dijangka dilakukan oleh Tun Mahathir. Dalam konteks perlembagaan negara usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri bukanlah satu perkara bertentangan dalam Perlembagaan Negara. Tujuan usul undi tidak percaya dibuat adalah untuk melihat jumlah sokongan sebenar terhadap Perdana Menteri dalam Dewan Rakyat. Lebih-lebih lagi dikatakan dakwaan bahawa Perdana Menteri dikatakan mempunyai sokongan berbelah-bahagi dan sokongan tidak jelas.
Perdana Menteri pula perlu membuktikan bahawa beliau mempunyai sejumlah mencukupi dalam dewan untuk terus menjadi Perdana Menteri. Selepasnya Speaker Dewan akan menentukan kaedah, prosedur atau tatacara sama ada akan membenarkan usul ini dibawa masuk dan dibincangkan atau ditangguhkan.
Perpecahan PPBM
Namun di sebalik usul undi tidak percaya Tun Mahathir kepada Perdana Menteri ia jelas menunjukkan bahawa politik Malaysia semakin bergolak. Hal ini kerana agak pelik dan mungkin merupakan satu bentuk norma baru, apabila Pengerusi PPBM, iaitu Tun Mahathir tidak sehaluan dengan presiden PPBM, Muhyiddin Yassin.
Tun Mahathir ialah pengasas PPBM manakala Muhyiddin Yassin turut bersama membina parti tersebut. Kini Mahathir akan duduk di kerusi pembangkang di Dewan Rakyat manakala Muhyiddin Yassin duduk di kerusi kerajaan selaku perdana menteri. Situasi ini merupakan manifestasi ketidaksehaluan sesama mereka.
Usul undi tidak percaya dikemukakan oleh Tun Mahathir dilihat sebagai suatu yang unik dan dianggap sebagai bukan sembarangan usul kerana dibuat oleh mantan perdana menteri selama 2 kali dan lebih 20 tahun menjadi PM. Usul ini seolah-olah dilihat bukan untuk melihat siapa bakal Perdana Menteri, akan tetapi cuma untuk melihat bukti sama ada kerajaan Perikatan Nasional ini mempunyai cukup majoriti di Dewan Rakyat.
Dari satu segi, seolah-olah Tun Mahathir ingin memberikan mesej kepada Anwar Ibrahim sekiranya Muhyiddin Yassin mempunyai cukup majoriti maka Anwar perlu menerima hakikat tersebut. Usaha undi tidak percaya ini secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan Muhyiddin Yassin dan rakyat tidak akan menimbulkan isu persoalan isu kabinet pintu belakang lagi apabila legitimasi disahkan oleh Dewan Rakyat.
Hakikatnya usul tersebut tidak dibuat oleh PKR, DAP atau Amanah, apatah lagi menggunakan nama Pakatan Harapan. Ini menunjukkan usul tersebut ialah usaha Mahathir untuk kembali berkuasa sebagai perdana menteri. Namun, reaksi rakyat terhadap Mahathir agak kurang memberangsangkan apabila netizen mulai mempertikaikan tindakan Mahathir yang dianggap mahu kembali berkuasa, sedangkan beliau sendiri meletak jawatan perdana menteri dan cuba membentuk kerajaan perpaduan agar kembali menjadi perdana menteri bersama UMNO dan Pas dengan syarat tertentu,
Beliau juga dilihat tidak mahu menunaikan janji menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim dan cuba melengah-lengahkan penyerahan kuasa seolah-olah mahu membuka ruang kepada musuh dalam selimut Pakatan Harapan dan musuh politik luar mengambil kesempatan untuk membentuk kerajaan. Kesannya, Perikatan Nasional terbentuk dan ramai penyokong Pakatan Harapan kecewa dan meletakkan kesalahan tersebut kepada Tun Mahathir.
Malah Tun Mahathir dilihat cuba mengabaikan mandat rakyat apabila cuba membentuk kerajaan teknokrat yang bakal dipimpinnya sendiri manakala penyertaan wakil rakyat dikurangkan dan ini mencerminkan seolah-olah Mahathir hanya mementingkan kuasa sebagai perdana menteri dan mengabaikan mandat rakyat.
Langkah terakhir Mahathir ialah cuba sedaya upaya menggunakan kuasa dan pengaruh untuk memastikan isu ini bukanlah menjadi pengakhir politik beliau sebagai tokoh besar dihormati dalam dan luar negara, seterusnya tidak mahu kesan tindak tanduk politiknya akan menyebabkan penamatan jalan politik Mukhriz Mahathir satu-satu legasi politik yang mahu ditinggalkan selepas pasca Mahathir.
Memang Mahathir sukar ditandingi kehebatan dalam berpolitik, malah ramai ikon dan ahli politik lain tersungkur seperti Abdullah Badawi dan Najib Tun Razak akibat daripada berbalah dengan beliau. Namun dalam pertarungan politik terakhir Mahathir dengan Muhyiddin Yassin belum dapat dipastikan berpihak kepada Mahathir kerana tindak tanduk Mahathir sendiri yang meletak jawatan dan gagal menunaikan janji penyerahan kuasa boleh menjadi penyebab kepada kegagalan utama Mahathir dalam kerjaya politiknya. Rakyat semakin semakin berhati-hati terhadap tindak tanduk, sikap dan pendirian Mahathir yang begitu tawaduk politik ketika belum mendapat kuasa dan berubah apabila sudah memperoleh kuasa.
Situasi politik yang berlaku ini memperlihatkan politik nasional masih belum stabil dan mememerlukan masa untuk membaiki kerapuhan. Terlihat pula unsur-unsur saling bersaing sesama mereka, unsur ketamakan kuasa, mahu mendominasi sesama mereka dan sibuk soal pengagihan kuasa dan kepentingan politik sendiri. Sedangkan rakyat mahukan kehidupan yang lebih baik, kerajaan yang lebih pentingkan kebajikan rakyat ketika era Covi-19 dan bakal pasca Covid-19.
Pada masa yang sama isu politik perlu diselesaikan segera tanpa menguburkan demokrasi berparlimen!
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.