KABONG: Para nelayan di sini kini mula mengambil dan menyediakan stok air batu atau ais untuk persediaan menyimpan hasil tangkapan ikan ketika ini.

Sekaligus ia petanda kepada bermulanya musim ikan di sini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kabong berkata, Kompleks PNK Kabong kini menjadi tumpuan para nelayan bagi mendapatkan bekalan ais sejak beberapa hari lalu.

“Minggu ini kalau ikutnya adalah ‘air terubuk’ (bermaksud musim terubuk) dan berlangsung dalam tempoh kira-kira lima hari bermula semalam.

“Selepas itu minggu depan pula adalah ‘air popot’ dan ikan lain. Begitulah lazimnya putaran ikan yang diperoleh para nelayan di sini ,”ujarnya.

Para nelayan jelasnya perlukan bekalan ais yang banyak untuk dibawa turun ke laut bagi memastikan ikan yang diperoleh tahan dan tidak membusuk sebelum sampai kepada pembeli.

Menurut Darmizan ada para nelayan yang akan bermalam di laut untuk memasang pukat dan jaring ikan bagi tempoh sehari atau dua hari.Lantaran itu mereka memerlukan bekalan air batu yang mencukupi bagi tempoh itu.

Di Kompleks PNK Kabong, air batu boleh didapati dengan harga RM5.50 sebungkus.Air batu berkenaan dibuat di kompleks tersebut namun pada ketika ini pihak PNK terpaksa mendapatkan bekalan air batu tambahan dari Sarikei kerana terdapat permintaan yang banyak daripada para nelayan ketika cuaca elok seperti sekarang.

Semalam pihak PNK jelas Darmizan hanya mempunyai baki stok air batu sekitar 300 bungkus dan jumlah itu tidak akan dapat menampung permintaan nelayan dan mereka perlu mendapat bekalan tambahan dari Sarikei untuk sementara waktu.