UTAH: Ketika bertugas, Rick Morgan anggota polis peronda di Utah fikir bahawa pemandu sebuah kereta perlukan bantuan kecemasan.

Ini kerana beliau melihat kereta tersebut bergerak dalam keadaan tidak terkawal di lebuh raya.

Ketika dia berjaya menahan kereta tersebut dia terkejut melihat pemandu kereta itu ialah kanak-kanak berusia 5 tahun.

Morgan memberitahu kanak-kanak itu tidak memberi sebarang respons ketika dia memasang lampu amaran, tetapi dia segera menghentikan kereta sebaik sahaja terdengar bunyi siren.

Kanak-kanak bernama Adrian itu duduk di ruang hujung kerusi pemandu agar kakinya dapat menginjak pedal brek.

Adrian dikatakan mengambil kunci kereta keluarganya tanpa pengetahuan mereka selepas dia bertengkar dengan ibunya kerana minta dibelikan kereta Lamborghini!

Merajuk dengan ibunya dia mengambil keputusan memandu ke California dari Utah, mahu “membeli sendiri” kereta idamannya berbekalkan wang AS$3 di dalam poket.

Insiden itu dimuat naik oleh Pasukan Peronda Lebuh Raya Utah di akaun Twitter mereka berserta foto Adrian.

Netizen terkesima membaca tindakan berani kanak-kanak itu.

Ibu bapa Adrian berkejar ke lokasi tempat dia ditahan sebaik sahaja dihubungi Morgan.

Ibu bapanya tidak tahu bagaimana Adrian boleh memandu sejauh itu.

Dalam pada itu, Jeremy Neves, ahli perniagaan tempatan yang membaca kisah Adrian melawat dia rumahnya lalu membawa Adrian bersiar-siar menaiki Lamborghininya.