MIRI: Seorang lelaki warga China didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana tinggal di negara ini melebihi had masa.

Hakim Mahkamah Sesyen Steve Ritikos menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.

Tertuduh yang berusia 52 didakwa melakukan kesalahan itu di DPS Senadin Commercial Centre, Jalan Tudan, Kuala Baram, jam 11. 30 pagi, pada 28 April lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dipercayai tinggal di Malaysia setelah tamat tempoh pas lawatan yang sah laku sehingga 15 April lalu iaitu selama 14 hari tanpa sebab yang munasabah.

Kesalahan di dakwa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama.

Pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian memutuskan denda RM10,000 atau penjara 10 bulan jika gagal membayar denda yang ditetapkan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh pegawai pendakwa ASP Koay Kok Ping manakala tertuduh tidak diwakili peguam.