Monday, November 28, 2022

PKP, Covid-19: Nasihat pelombong terperangkap 2,300 kaki di bawah lombong selama 69 hari

Secara Rawak

Bagaimana agaknya pengalaman terperangkap di bawah lombong sedalam 2,300 kaki atau hampir setengah batu di bawah tanah, selama 69 hari?

Seorang pelombong yang terperangkap di dalam lombong berkenaan dan kemudiannya berjaya diselamatkan bersama-sama 32 pelombong  lain memberi nasihat kepada anda yang kini terperangkap di dalam rumah disebabkan penguncian (lockdown) atau Perintah kawalan Pergerakan (PKP).

“Jangan mudah menyerah kalah. Unsur humor begitu penting,” kata Mario Sepulveda.

“Aturkan rumah anda. Buat dan ikut rutin atau aktiviti tertentu agar anda tidak berasa bosan. Begitu banyak perkara yang dapat anda lakukan,” katanya seperti dipetik AFP.

“Kami berada dalam situasi yang begitu kritikal. Kami tidak ada jalan keluar dalam keadaan berkenaan,” kata seorang lagi yang terperangkap seperti dikutip agensi berita itu.

Ketika terperangkap di bawah gunung berkenaan di sebuah padang pasir di lombong San Jose, Chile, Luis Urzua kini berusia 64 tahun berkata, berlaku banyak perbualan dan perbincangan dalam kalangan mereka yang terperangkap.

“Perkara lain yang membantu kami ialah berdoa dan sembahyang,” katanya.

Kejadian yang  menggemparkan dunia itu berlaku pada 5 Ogos 2010.

Ini ialah kisah dramatik mengenai takdir dan harapan.

Ketika membaca buku bertajuk 33 Men Inside The Miraculous Survival and Dramatic Rescue of the Chilean Miners karya Jonathan Franklin, dapat saya rasai secara langsung debaran dan pengalaman mereka.

Dengan makanan yang sedikit, bagaimanakah mereka dapat hidup dan bertahan sehingga hari ke-16 sebelum lubang dalam dapat menembusi lokasi mereka? Ya mereka makan sedikit ikan tuna pertama setiap 12 jam, kemudian setiap 24 jam, sebelum setiap 36 jam.

Ramai yang menyangka mereka tidak ada peluang untuk hidup. 

Kejadian itu begitu traumatik dan mendapat liputan meluas media antarabangsa. Apakah kesan terhadap emosi dan psikologi dan kesihatan mereka?

Kos untuk menyelamatkan setiap pelombong berkenaan ialah sekitar RM86 juta seorang.

Mungkin ini buku yang perlu anda baca ketika terkurung di dalam rumah angkara Covid-19 supaya anda  tahu bersyukur.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru