Saturday, October 8, 2022

Penduduk serah dua haiwan terlindung kepada SFC

Secara Rawak

MIRI: Dua orang penduduk mengambil pendekatan tepat apabila menyerahkan dua haiwan liar yang dilindungi kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Ketua Pegawai Eksekutif SFC Zolkipli Mohamad Aton melahirkan terima kasih kepada penduduk Miri atas penyerahan Beruang Matahari Malayan dan Iguana Hijau kepada SFC untuk dilindungi memandangkan kedua-dua haiwan itu sukar ditemui.

“Saya berterima kasih kepada penduduk Miri kerana sedar akan tanggungjawab mereka dalam memelihara hidupan liar. Ini kerana haiwan liar juga merupakan sebagai sebahagian daripada komuniti dalam hutan.

“Mana-mana orang yang memburu, membunuh, menangkap, menjual atau memiliki haiwan yang dilindungi tanpa izin dari Pengawal Kehidupan Liar adalah kesalahan yang boleh dihukum penjara sehingga satu tahun dan denda RM10,000,” katanya semasa ditemui selepas menerima Beruang Matahari Malayan (Malayan Sun Bear) dan Iguana kepada SFC di Piasau Nature Reserve pada Rabu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai hidupan liar digalakkan menghubungi talian hotline SARAWAK FORESTRY di Kuching (019-8859996, 013-8110150), Sibu (019-8883561), Bintulu (019-8223449, 019-8332737), atau Miri (019 -8224566, 019-8290994).

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau menasihatkan penduduk untuk menyerahkan Beruang Matahari Malayan yang berusia 2 minggu kepada pihak berkuasa untuk dilindungi.

“Seorang penduduk dari Long Liwok, Sungai Layun Ulu Baram telah menemui seekor Beruang Matahari Malayan yang berumur dua minggu.

“Saya telah menasihatkannya menyerahkan Beruang Matahari Malayan itu kepada pihak SFC,” katanya.

Pada hari yang sama, seorang penduduk Miri telah menyerahkan Iguana Hijau yang telah dijumpai di tepi jalan berhampiran kawasan Piasau kepada SFC.

Iguana Hijau itu disenaraikan di bawah Lampiran II CITIES (Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Liar yang terancam).

Kedua-dua hidupan liar kini disimpan di Piasau Nature Reserve, Miri.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru