KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan oleh kerajaan persekutuan sebelum ini tetapi dengan  prosedur operasi standard (SOP) dan strategi yang sesuai dengan keadaan di negeri ini.

Namun menurut Pengerusinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata JPBN akan terlebih dahulu mengkaji SOP yang digariskan oleh Kerajaan Persekutuan dan menyesuaikannya dengan keadaan di Sarawak.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata pihaknya sedang meneliti SOP untuk sektor ekonomi di Sarawak beroperasi semula.

“Kita sedang mengkaji  SOP bagi aktiviti perniagaan yang dibenarkan beroperasi semula  dengan teliti selepas pemain industri serta mereka  yangberkepentingan memahami SOP yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

“Apabila operasi telah bermula, kita perlu memastikan kita punya cukup kakitangan untuk memantau, menyelia dan menguat kuas,” jelasnya sambil menambah bahawa JPBN akan meneliti jenis operasi yang boleh dibenarkan di bawah kawasan hijau, selain syarat yang perlu dikenakan di kawasan kuning  dan merah Covid-19.

Selain Sarawak, negeri-negeri lain yang belum bersedia melaksanakan PKPB ialah Sabah, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan.