NEW DELHI: Gara-gara terlalu ramai ingkar arahan PKP, pihak polis di Tamil Nadu, India terpaksa menggunakan kaedah drastik menakutkan selain memberi kesedaran tentang betapa bahayanya virus ini.

Sebelum ini antara tindakan yang diambil untuk tujuan itu adalah dengan memukul, menulis janji di atas kertas, tekan tubi dan pelbagai hukuman lagi.

Selepas semuanya tidak memberi kesan, kaedah terbaru digunakan adalah dengan memasukkan pesalah ke dalam ambulans bersama-sama pesakit yang didakwa positif Covid-19.

Dalam video yang tular di media sosial ketika ini, pihak polis menghentikan tiga lelaki di atas motosikal dan memasukkan mereka ke ambulans bersama-sama pesakit didakwa positif Covid-19 menunggu di dalam kenderaan itu.

Gelagat ketiga-tiga lelaki ini begitu takut sebaik sahaja melihat lelaki yang menyamar sebagai pesakit Covid-19 dan mereka cuba melarikan diri di ruang yang sempit itu, malah ada yang bertindak keluar dari tingkap.