KUCHING: Ahli Parlimen Bintulu  Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan pengurangan jumlah penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bintulu sebagai langkah kurang bijak.

Tiong yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China berkata, perkara itu harus diserahkan kepada pentadbiran lapangan terbang untuk mengembangkan audit lengkap mengenai jumlah penumpang, keberadaan mereka dan saringan penumpang berdasarkan di mana mereka mungkin berada sebelum mengambil penerbangan.

Beliau berkata, adalah lebih baik untuk mencari keseimbangan antara kesihatan dengan langkah-langkah pengekangan yang selamat.

“Sebarang keputusan harus dipertimbang dengan teliti sebelum dilaksanakan,” tegasnya.

“Jumlah penumpang terlalu ramai untuk ditampung dengan hanya satu penerbangan setiap minggu boleh menyebabkan risiko jangkitan yang tinggi,” katanya lagi.

Ini, meurtut beliau adalah kerana penumpang tertumpu kepada satu penerbangan sahaja.

Lagipun, jelas beliau, terdapat tidak kurang sembilan zon perindustrian besar di kawasan Bintulu dengan purata pertumbuhan penduduk tiga peratus setiap tahun.

Jelasnya, Bintulu juga menyumbang 85 peratus rizab gas asli di Sarawak, selain satu daripada bandar industri utama di negara ini dengan jumlah perdagangan merangkumi 45 peratus daripada ekonomi Sarawak.