KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Kerajaan Negeri mengambil keputusan mengurangkan jumlah penerbangan antara Kuala Lumpur dengan Bintulu sekali seminggu selepas mengambil kira kapasiti bilik hotel di bandar itu untuk dijadikan pusat kuarantin bagi orang dalam pengawasan (PUS).
“Kita ambil kira bilangan hotel di Bintulu untuk kuarantin individu di bawah pengawasan,” katanya.
“Atas alasan itu, kita memutuskan hanya satu penerbangan Bintulu-Kuala Lumpur seminggu kerana hotel di Bintulu tidak mencukupi,” jelas beliau.
Beliau ditanya media dalam sidang media mengenai permintaan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing betapa perlunya lebih banyak penerbangan antara Bintulu dengan Kuala Lumpur.
“Kita tidak hanya mengurangkan jumlah penerbangan ke Bintulu tetapi juga ke Sibu, Miri malah Kuching,” katanya.
Namun, jelas Uggah lagi, jumlah penerbangan ke lapangan terbang terbabit akan dikaji dari semasa ke semasa bergantung kepada kapasiti.