KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan untuk dipatuhi rakyat di negeri ini semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak pada tahun ini.
Hari Raya Aidilfitri dijangka disambut pada 24 Mei manakala Gawai Dayak pada 1 Jun.
Pengerusinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata SOP berkenaan akan diperkenalkan dengan mengambil kira situasi jangkitan Covid-19 di negeri ini.
Beliau berkata cabaran paling besar kampung dan rumah panjang adalah mengekalkan zon hijau yang merupakan 70 peratus kawasan di Sarawak.
Setakat ini Sarawak mencatatkan 525 kes jangkitan termasuk dua kes terbaharu semalam, dan 17 kematian.
Jelas Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri, SOP itu nanti bukan setakat dikuatkuasakan di rumah panjang atau kampung, tetapi di setiap bandar di negeri ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media harian mengenai perkembangan Covid-19 di Sarawak di sini pada Selasa.
Uggah berkata buat masa ini, Kerajaan Negeri memutuskan Bazar Ramadan dan Bazar Gawai tidak dibenarkan.
“Yang paling penting ialah penjarakan sosial,” katanya.