HOKKAIDO, sebuah pulau di bahagian paling utara Jepun berdekatan dengan Rusia mempunyai 5.3 juta jiwa. Ramai orang Malaysia suka melancong ke sini kerana daya tarikannya yang tersendiri dari segi keindahan alam terutama taman negaranya.

Hokkaido juga tidak terlepas daripada diserang Covid-19, malah pulau itu antara kawasan yang paling teruk dilanda virus maut itu di Jepun. Daripada 47 wilayah di Jepun, 46 dilanda Covid-19, dan yang paling teruk ialah Tokyo dan Osaka.

Hokkaido mencabut penguncian selepas kes jangkitan berkurang kepada satu angka. Tahu apa yang berlaku selepas itu? Hokkaido dilanda gelombang kedua apabila berlaku peningkatan kes secara mendadak. Hokkaido menamatkan penguncian atau perintah kawalan pergerakan pada 19 Mac lalu bagi membolehkan perniagaan dan sekolah beroperasi, kemudian mengisytiharkan darurat kecemasan.

Pengerusi Pertubuhan Perubatan Hokkaido, Dr Kiyoshi Nagase berkata, beliau menyesal kerana perintah berkurung ditamatkan terlalu awal.

“Ini bermakna kita mungkin perlu menunggu hingga tahun depan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat dan kita boleh menamatkan perintah berkurung tanpa risau,” katanya.

Pakar kawalan penyakit berjangkit di Health Sciences University, Hokkaido, Prof Yoko Tsukamoto, turut bersetuju bahawa perintah berkurung ditamatkan terlalu awal. Ontario, Kanada juga mengalami fenomena yang sama apabila pengucian dicabut terlalu awal.

Malah, beberapa negara dan kawasan juga melalui pengalaman yang sama. Mengambil kira situasi dan pengalaman di dua kawasan tersebutlah, maka rakyat bertanya:

Adakah tindakan kerajaan melonggarkan PKP wajar, tepat dan betul?

Meskipun demikian, ada pihak yang menyatakan bahawa kita tidak harus bandingkan tindakan dan keadaan di Malaysia dengan Hokkaido.

Hokkaido dikatakan tidak mengambil tindakan untuk mengawal sempadannya.

Perdana Menteri Tan Sri Muyhiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan melaksanakan PKP bersyarat bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula. Beliau berkata, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, Majlis Keselamatan Negara dan Jemaah Menteri telah mengadakan perbincangan secara panjang lebar dalam mencari jalan mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak Covid-19.

Hakikatnya, kita tidak boleh selama-lamanya dapat berkurung. Tidak ada mana-mana negara yang mampu berbuat demikian walau semaju dan sehebat mana pun negara itu dari segi ekonomi, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan China.

Malah, keadaan di AS lagi teruk. Sudahlah jumlah yang dijangkiti telah melangkaui 1.2 juta orang dan angka kematian mencecah 69,723 orang hingga semalam, rakyatnya bagai tidak kisah.

Mereka mengutamakan demokrasi, liberalisme dan ekonomi. Itulah sebabnya di beberapa negeri, ada rakyatnya yang pergi ke jalan raya untuk tunjuk perasaan agar kerajaan segera mencabut penguncian atau kawalan pergerakan.

Mereka mahu bebas dan melakukan kegiatan seharian seperti biasa tanpa mempedulikan serangan virus maut itu. Rakyat AS bagai tidak pernah belajar daripada kejadian yang berlaku di seluruh dunia.

Jumlah kematian yang tinggi di negara itu bagai tidak memberi kebimbangan dalam kalangan rakyatnya. Rakyatnya juga tidak pernah belajar bagaimana pandemik selesema Sepanyol yang melanda negara itu pada 1918 pernah mengorbankan 550,000 orang.

Hakikatnya, kita faham bahawa kerajaan berada dalam dilema. Keadaannya bagai ditelan mati emak diluah mati bapa.

Adakah perlu diteruskan PKP dan diperketatkan kawalan? Atau ia dilonggarkan agar kegiatan ekonomi tidak lumpuh?

Setiap satu punya kesan dan implikasinya yang mendalam dari segi politik, sosial, psikologi, dan ekonomi.

Perdana Menteri mengakui bahawa negara kerugian RM2.4 bilion setiap hari ekoran penguatkuasaan PKP. Bayangkan kerugiannya dalam 60 hari PKP dilaksanakan?

Tidak mungkin kerajaan terus terusan dapat membantu. Ia juga punya keterbatasan dari segi kewangan.

Bagi rakyat pula, mereka tidak selama-lamanya dapat bergantung kepada kerajaan. Bagi golongan B40 dan mereka yang bergaji hari, PKP menyebabkan nafas mereka semput.

Tanpa simpanan, bagaimana mungkin golongan pekerja bergaji hari dapat bertahan? Lagi lama PKP dilanjutkan, lagi tertekan kehidupan dan emosi mereka?

Dilema yang dihadapi kerajaan adalah bagaimana hendak menyeimbangkan antara kepentingan ekonomi dengan kesihatan? Jadi, jalan keluar adalah dengan melaksanakan PKP bersyarat.

Juga, membenarkan industri dan sektor tertentu ekonomi beroperasi dengan peraturan ketat.

Ya, memang kita perlu berhati-hati dalam membuat keputusan untuk menarik balik PKP walaupun jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 dilihat menurun.

Bagi sesetengah pihak, yang menjadi persoalan ialah mengapa kita tidak menunggu sehingga 12 Mei apabila PKP fasa keempat berakhir?

Malaysia patut mengambil iktibar daripada kejadian yang menimpa Singapura, Hokkaido atau Sweden yang terpaksa melawan semula virus itu selepas berasakan sudah berjaya menamatkan virus itu dalam gelombang pertama.

Melihat kepada trend peningkatan kes Covid-19 beberapa hari lalu di seluruh negara, menimbulkan persoalan apakah kelonggaran besar secara serentak bermula Isnin 4 Mei ini satu keputusan kerajaan yang tepat?

Ya, tidakkah ini satu keputusan dan tindakan yang agak tergesa-gesa?

Sudahkah kita memikirkan dengan mendalam kesan dan implikasi keputusan itu terhadap kesihatan awam?

Dapatkah kita yakinkan rakyat Malaysia untuk mengikuti segala langkah yang perlu ketika berada di tempat kerja atau di luar?

Jumlah kes tangkapan di negara ini di bawah tempoh PKP dapat menjawab soalan itu. Semoga apa yang berlaku di negara luar sudah dikaji sedalamnya agar pengalaman mereka yang menyaksikan kes jangkitan meningkat mendadak selepas kelonggaran penguncian tidak berlaku di sini.

Memang, hendak buka ekonomi dan melonggarkan PKP tiada masalah, cuma ia hendaklah dibuat secara beransur ansur, bukannya sekali gus takut keadaannya tidak terkawal nanti. Kita perlu pertimbangkan keupayaan dari segi sistem kesihatan dan keadaan sektor ekonomi yang hendak dibenarkan beroperasi.

Kelonggaran hanya boleh ditamatkan sekiranya berlaku penurunan kes baharu satu hingga dua minggu berturut-turut, sehingga menjadi satu angka.

Menurut penilaian dilakukan Universiti Oxford, hanya 10 negara memenuhi empat kriteria daripada enam kriteria diperakukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dapat mencabut penguncian.

Antaranya ialah Vietnam, Thailand, Korea Selatan, Slovenia, Costa Rica, Hong Kong, Barbados, New Zealand dan Jordan. Malaysia tidak termasuk dalam senarai berkenaan. Kita seharusnya membuka kawasan demi kawasan mengikut zon.

Mereka di kawasan hijau boleh dilonggarkan. Namun, kita perlu berhati-hati dengan mengenakan kawalan ketat. Maksudnya, orang dari dalam kawasan tidak boleh keluar dan mereka dari luar tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu.

Apa yang bakal berlaku dalam tiga empat minggu akan datang begitu penting. Seyogia diingat, virus ini tidak dapat diberi ruang untuk menular. Ia akan mencari kesempatan untuk mengganas jika kita tidak tidak mempedulikan jarak dan kebersihan.

Hakikatnya, Sarawak tidak semestinya mengikut langkah atau keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan.

Sarawak seharusnya membuat pertimbangan dan pendirian sendiri berasaskan perkiraan geografi, sistem kesihatan dan kebiasaan tempatan.

Dalam membuat keputusan sama ada hendak ikut keputusan yang diumumkan Perdana Menteri pada Jumaat atau tidak, saya percaya Kerajaan Sarawak membuat perhitungan lebih teliti.

Alternatif mana yang akan membawa risiko dan kesan lebih besar?

Kita tidak mahu, keputusan yang salah akan menyebabkan kita merana. Kita tidak mahu nasi menjadi bubur. Tentu lebih sukar bagi kita untuk kembali semula ke langkah awal jika berlaku gelombang serangan kedua atau ketiga.

Keadaannya tentu akan lebih teruk dan rumit jika jumlah kes naik mendadak nanti. Kita tentu tidak mahu apa-apa yang kita korbankan selama enam minggu menjadi sia-sia hanya kerana kita tergesa-gesa dalam membuat keputusan. Atau keputusan kita tidak tepat.

Isnin ini bukan masa untuk meraikan kemenangan. Ini bukan permulaan kepada pengakhiran serangan Covid-19.

Ingat, kita belum lagi menang dalam peperangan ini. Justeru, bagi yang keluar Isnin ini, ingat, anda perlu jaga diri anda dan orang lain di sekitar anda.

Belum masa untuk anda meraikan kemenangan dan melakukan amalan biasa seperti sebelum Covid-19 melanda.