KUALA LUMPUR:  Langkah yang diambil oleh kerajaan persekutuan dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah bagi mencari perimbangan antara menjaga kepentingan rakyat dengan melindungi kepentingan negara secara menyeluruh.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abdul Rahim Bakri, sesuatu keputusan penting sedemikian juga dibuat berlandaskan konsensus badan tertinggi negara iaitu Kabinet Persekutuan, melalui konsensus keputusan bersama dan dicapai kebiasaannya berpandukan dan mengambil kira pandangan profesional, pelbagai agensi berwajib.

Jelasnya, keputusan kerajaan melaksanakan adalah bersandarkan dua pertimbangan menang-menang yang menjadi aspek utama.

“Dalam kes menangani pandemik Covid-19 ini, lazimnya dipandu Kementerian Kesihatan selaku ‘regulator’ kesihatan negara dan keputusan juga mengambil kira ‘input’ agensi pertubuhan kesihatan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” kata Ahli Parlimen Kudat itu dalam satu kenyataan malam tadi.

Pada 1 Mei, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPB, dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai hari ini, tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.