KUCHING: Tiada paksaan untuk pelajar pulang atau tidak ke kampung halaman masing-masing kini, jelas Naib Canselor Unimas Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.

Beliau berkata, terdapat segelintir pelajar memilih untuk tinggal di asrama kerana capaian Internet baik yang disediakan oleh univerisiti. “Sebahagian pelajar memilih untuk tinggal di asrama masing-masing. Dengan adanya kemudahan Internet yang sangat baik, ia memudahkan mereka untuk belajar.

“Mereka juga risau kerana di kampung tiada akses Internet atau capaiannya lemah. “Oleh sebab itu, mereka memilih untuk tinggal di kolej pada tempoh ini,” katanya kepada media di Dataran Kolej Cempaka baru-baru ini.

Malah katanya, menjadi tangungjawab universiti untuk memastikan setiap kebajikan pelajar terus dijaga. “Pihak universiti tidak mempunyai masalah dengan kebajikan setiap pelajar di kampus.

“Hal ini kerana kerajaan membantu menyediakan makanan yang cukup setiap hari termasuk untuk bersahur. “Sehingga kini seramai 3,100 pelajar secara keseluruhannya berada di kampus termasuk 700 pelajar di sekitar luar kampus,” katanya.

Universiti itu jelasnya, akan sentiasa mengikuti perkembangan setiap pelajar dari semasa ke semasa menerusi atas talian.