Pepatah ada mengatakan ‘seperti belangkas’ yang merujuk kepada ikatan pasangan yang sangat intim sehingga tidak langsung mahu berenggang walau sekejap.

Bagaimanapun hari ini keadaan berbeza dan mungkin juga ia tempias daripada berlakunya ‘norma baru’ yang berlaku kepada dunia masa kini apabila Covid-19 melanda.

Biasanya belangkas betina akan sering bersama belangkas jantan yang sentiasa menumpang atau bertenggek di atas cengkerang si betina setiap masa.

Namun kehadiran belangkas betina tanpa pasangan jantan menimbulkan tanda tanya kepada seorang penduduk di sini pagi tadi.

Belangkas betina itu ditemui seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai As Zerong digigi air setelah memasuki pukat yang dipasangnya di kawasan tepi pantai tidak jauh dari kawasan kebunnya di kawasan Batu Empat Kabong.

Ketika diangkat belakang si betina tempat selalunya ada sang belangkas jantan telah dipenuhi oleh puluhan siput duri atau koyong parek (istilah nelayan tempatan) yang menempel di belakang belangkas betina itu.

Sama ada belangkas betina itu ditinggal ‘laki’, atau lakinya sudah mati.Tidak ada bukti kukuh untuk menyokong tanggapan itu.Apa yang pasti lakinya sudah tak ada bersama.

Belangkas itu juga mengundang komen dengan ada yang mengatakan belangkaspun turut akur Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan terpaksa berjauhan kerana mematuhi penjarakan sosial satu meter.

Hari ini merupakan hari ke-47 berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga merupakan Ramadan yang kesepuluh.

Lantas ada juga yang melontarkan seloroh dengan berkata belangkas juga seakan menghormati bulan puasa dengan tidak bersama secara rapat pada siang Ramadan.

Apapun As Zerong ketika diminta mengulas lanjut berkata kuasa Tuhan mengatasi pemikiran logik manusia.

“Saya turun ke tepi pantai macam biasa memasang jaring dan mencari kepah untuk dijadikan menu berbuka puasa.

” Saya dapat kepah dalam lebih 20 kilogram.Agak banyak saya dapat lantas saya jual juga kepada penduduk sekitar.

“Selepas mencari kepah pagi tadi saya tengok keadaan air laut nampak tenang dan elok sangat.Saya terus ambil pukat .Alhamdulillah ada jugak rezeki untuk berbuka puasa hari ini.Ketika itulah saya dapat belangkas tu masuk pukat saya.

“Persoalannya kenapa belangkas betina ni solo dan dipenuhi oleh Siput Duri di atas belakangnya. Mana pergi jantannya? Dan yang peliknya juga belangkas betina tu walaupun tanpa jantannya banyak sangat telur.Apapun kuasa Allah S.W.T tak ada sesiapa pun yang tahu,”ujarnya.