Ketika pandemik covid-19 menunjukkan kesurutan kes-kes baharu secara menyeluruh. Banyak zon merah bertukar hijau dan ramai kurang menyedari bahawa politik arus bawah tetap bergerak seperti biasa. Cuma bentuk, lentur dan gerak kerja lebih halus dan menyesuaikan dengan orientasi semasa.

Ahli politik berpengalaman lebih tahu mengatur langkah dan bergerak ke depan pada masa yang sama memastikan covid-19 tidak menghalang mereka tidak terkeluar dalam radar politik arus perdana.

Baru-baru ini penulis berbincang dengan seorang wartawan kanan akhbar berbahasa Inggeris di Kuala Lumpur dan sempat memberikan beberapa analisis mengenai peluang ahli politik arus perdana kembali dalam radar politik yang lebih besar khususnya untuk menjawat jawatan perdana menteri pada masa akan datang. Antara intipati perbincangan adalah kembalinya politik lama tidak lama lagi.

Peluang Najib kembali ke radar politik?

Ketika pilihan raya dahulu, nama Najib Tun Razak terpalit dengan isu 1MDB yang menyebabkan kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-14. Ketika itu ramai menjangka Najib tidak akan kembali dalam politik arus perdana, lebih-lebih lagi apabila jawatan presiden parti UMNO diserahkan kepada Zahid Hamidi selaku timbalan presiden.

Malah ketika itu, ramai menjangka UMNO sukar pulih untuk beberapa penggal. Berdasarkan sentimen ini ramai pemimpin umno sendiri tidak mahu bertanding dalam pemilihan UMNO, terdapat juga secara sukarela meletak jawatan seperti jawatan pengerusi perhubungan negeri.

Apabila isu prestasi Pakatan Harapan dijadikan isu utama, malah sentimen etnik danĀ agama dijadikan isu politik seperti LTTE, isu tuduhan dominasi DAP dalam kerajaan, dakwaan peminggiran orang Melayu, ICERD, UEC dan sebagainya maka UMNO selaku parti berteraskan etnik Melayu dan Islam kembali bangkit dan menang dalam sebahagian besar pilihan raya kecil. Slogan Bossku mulai berkumandang. Ramai juga masih ragu akan kemampuan UMNO kembali dalam arus perdana.

Namun hakikatnya, Najib masih disokong oleh akar umbi UMNO khususnya golongan kelas pekerja dan pengundi luar bandar. Malah di Sarawak, nama Najib masih popular kerana kedatangan lebih 60 kali ke Sarawak ketika menjadi perdana menteri terus menjadi nostalgia politik rakyat Sarawak.

Projek Pan Borneo misalnya adalah komitmen Najib dan Tok Nan yang mahu memastikan pembangunan infrastruktur jalan raya yang lebih selesa walaupun tidaklah secanggih lebuh raya utara-selatan di Semenanjung Malaysia.

Berdasarkan pengamatan penulis, bekas presiden UMNO ini masih berpengaruh dalam parti dan menguasai sekurang-kurangnya satu pertiga UMNO. Sekiranya Najib terus bekerjasama dan bergabung tenaga dengan presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi atau dengan Tok Mat Hasan timbalan presiden UMNO, Najib dijangka mampu kembali dalam radar politik UMNO seterusnya kembali ke radar politik arus perdana.

Najib berpeluang untuk menggunakan muafakat nasional sebagai wahana politik dengan kerjasama PAS untuk memastikan undi Melayu dan bumiputera berpusat kepada Barisan Nasional.

Meskipun pun Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein, sepupunya sendiri mungkin tidak menyokong Najib. Hishamudin dikatakan menjauh diri dengan Najib selepas kekalahan BN pada PRU lepas. Beliau dilihat lebih rapat dengan Azmin Ali hingga kini.

Apabila politik terus bergolak selepas pembentukan perikatan nasional, tokoh politik bukan sahaja Najib tahu untuk mencatur gerak politik, malah tokoh lain seperti Tun Mahathir dan Anwar juga membuka gelanggang politik mereka dengan lebih cermat.

Peluang Mahathir

Mahathir juga dilihat berpeluang menjadi perdana menteri kembali, meskipun sukar bagi rakyat untuk percaya Mahathir akan kembali menjadi perdana menteri ketiga Malaysia. Dalam politik apa-apa boleh berlaku dan Mahathir membuktikan dalam politik tidak ada kawan dan musuh politik yang kekal. Yang kekal ialah kepentingan politik seperti kerjasama Mahathir dengan Anwar musuh politik lama dan kerjasama Mahathir dengan Dap yang pernah diburuk-buruk oleh Mahathir lebih daripada 30 tahun.

Mahathir berada dalam kedudukan yang unik kerana beliau menang tanpa bertanding sebagai pengerusi Parti Pribumi Bersatu. Kedudukan beliau memegang jawatan tertinggi ini membolehkan mengambil alih atau bertindak terhadap presiden Bersatu, iaitu Tan Sri Muhyiddin yang kini merupakan Perdana Menteri. Hal ini kerana dalam apa-apa perkara sebagai pengerusi Bersatu beliau dilihat sebagai pemegang keputusan terakhir dalam apa-apa tindakan politik.

Dari segi pengaruh, Mahathir yang hanya dilihat mempunyai 4 atau 5 penyokong dalam kalangan ahli parlimen. Namun dipercayai Mahathir mempunyai 12-15 ahli parlimen yang secara senyap-senyap menyokong Mahathir dari belakang tabir dan mereka ini masih menganggap diri mereka sebagai ahli kumpulan Mahathir dan kini mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum melakar langkah secara terbuka. Ternyata Bersatu kini mempunyai 2 kumpulan, iaitu kumpulan Muhyiddin Yassin dan kumpulan Mahathir.

Yang pasti kini, Parti Warisan Sabah berdiri teguh di belakang Mahathir hasil daripada kesetiaan politik dan hubungan peribadi yang ampuh di antara Mahathir dan Shafee Apdal. Apabila Mahathir mendapat sokongan daripada sebahagian daripada ahli parlimen Bersatu, parti islam PAS dijangka akan turut serta.

Dengan kata lain, apabila Mahathir mendapat sokongan penuh Pakatan Harapan, Parti Warisan dan beberapa kerusi daripada Bersatu, peluang Mahathir cerah untuk kembali menjadi Perdana Menteri.

Sudah pasti Mahathir mempunyai ego politik beliau sendiri dan tidak mahu dianggap membelakangkan demokrasi selepas beliau dilabellkan sebagai diktator politik untuk sekian lama ketika berada dalam Barisan Nasional.

Peluang Anwar

Anwar dianggap masih relevan dalam politik apabila ketika dalam penjara, Mahathir sanggup mengunjungi Anwar di mahkamah untuk kerjasama politik. Apabila malam pengiraan undi BN dijangka kalah, Najib Tun Razak menghubungi Anwar dari udara untuk perbincangan landskap politik baru.

Apabila keluar 11 ahli parlimen PKR bermakna pembersihan parti daripada pengkhianatan berjaya dilaksanakan. Anwar tidak perlu lagi berlawan dengan musuh yang tidak pasti atau musuh dalam selimut selama ini. Sekiranya pembersihan ini terus dilakukan di peringkat pimpinan pusat, negeri dan cabang, maka PKR akan menjadi semakin ampuh.

Kesannya, ini merupakan satu peluang untuk membina lapisan kepimpinan yang lebih setia kepada PKR dan mengukuhkan jenama politik dengan logo PKR. Kerusi-kerusi yang dikosongkan akibat dipecat akan digantikan dengan bakat-bakat politik anak muda atau golongan veteran yang setia dengan parti.

Sekiranya Bersatu keluar tanpa kembali ke Pakatan Harapan, Anwar pasti akan dapat menyusun puluhan kerusi-kerusi baru ditinggalkan oleh Bersatu. Maka, PKR dapat mengukuhkan parti dan Pakatan Harapan.

Kerusi Bersatu kebanyakannya akan dikuasai PKR dan Amanah seterusnya memperbanyakkan kerusi Melayu oleh PKR dan Amanah. Ketika PRU lepas, Bersatu bertanding sebanyak 56 kerusi dan hanya menang 13 kerusi. Kini, kedudukan Bersatu agak rapuh selepas keluar daripada Pakatan Harapan kerana kerusi dipertandingkan Bersatu juga menjadi rebutan UMNO khususnya dan Pas dalam Perikatan Nasional apabila parlimen dibubarkan.

Berdasarkan situasi ini, Anwar boleh mengurangkan inriq politik dalaman PKR dan memfokuskan kepada agenda parti dan Pakatan Harapan yang mewakili masyarakat berbilang kaum.

Kini Pakatan Harapan mempunyai 92 kerusi meliputi PKR 39 kerusi parlimen, DAP 42 kerusi parlimen dan Amanah 11 kerusi parlimen, manakala Warisan mempunyai 9 buah kerusi parlimen, kesemuanya menjadi sebanyak 101 kerusi parlimen dan ini tidak termasuk sejumlah kerusi ahli-ahli parlimen Bersatu yang menjadi kumpulan penyokong Mahathir.

Situasi kedudukan jumlah kerusi parlimen yang hampir dekat di antara satu sama lain menyebabkan Perikatan Nasional tidaklah terlalu stabil manakala Pakatan harapan terus cuba menguatkan kedudukan mereka dan mengambil iktibar daripada kejatuhan kerajaan tidak sampai sepenggal.

Pada masa yang sama, landskap politik nasional masih banyak dicaturkan oleh golongan ahli politik lama termasuk nama-nama besar seperti Najib Tun Razak, Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.