KUCHING: Perdana Menteri berkata beliau memahami bahawa setelah hampir dua bulan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ramai dalam kalangan tenaga kerja ingin kembali bekerja.

Ini menurut Tan Sri Muhyuddin Yassin adalah kerana sepanjang PKP,  mereka terputus mata pencarian dan memberi kesan yang buruk kepada kedudukan kewangan masing-masing.

“Begitu juga bagi negara kita. Terhenti aktiviti ekonomi bermakna terhentilah sumber pendapatan negara,” katanya dalam perutusan khas Hari Pekerja 2020 yang turut disiarkan secara langsung melalui televisyen semalam.

“Cukai tidak boleh dikutip, industri tidak boleh berkembang, pertumbuhan ekonomi terencat dan yang paling ingin kita elakkan ialah lebih banyak perniagaan terpaksa ditutup dan ramai pekerja kehilangan pekerjaan,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata negara kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP dilaksanakan dan jumlah kerugian setakat ini dianggarkan sekitar RM63 bilion.

“Jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara kita akan kerugian RM35 bilion menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion,” ujarnya.

PKP mulai dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu dan dijadualkan berakhir pada 12 Mei. Selepas dilanjutkan tiga kali, bermaksud keseluruhan tempoh PKP ialah lapan minggu.

Kata Perdana Menteri, sejak  awal kerajaan mempunyai perancangan yang jelas dalam memerangi wabak Covid-19 serta menghadapi krisis ekonomi, menggunakan strategi yang merangkumi enam pendekatan.

Menurutnya, pendekatan pertama adalah ketegasan dalam tindakan mengawal penularan wabak Covid-19 dengan melaksanakan PKP; Kedua, membina ketahanan melalui pakej rangsangan ekonomi Prihatin untuk meningkatkan kemampuan rakyat dan ekonomi manaka ketiga, menjana semula ekonomi secara teratur dan terkawal.

Pendekatan keempat pula adalah melaksanakan strategi pemulihan ekonomi dalam menghadapi normal baharu; kelima, memperkasakan ekonomi secara menyeluruh demi kelangsungan masa hadapan dan keenam menyusun semula struktur ekonomi untuk membolehkan negara dan rakyat melangkah ke era kehidupan yang berubah dengan adanya ‘normal baharu’, kata Muhyiddin.