KUALA LUMPUR: Sebagai tanda sepakat menghadapi wabak COVID-19, pihak bank sewajarnya berlapang dada memberi pengecualian faedah kepada rakyat, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Apabila kerajaan sedia beri pengecualian cukai kepada institusi kewangan sepanjang tempoh moratorium, sewajarnya bank berlapang dada beri pengecualian faedah kepada rakyat tanda sepakat kita menghadapi COVID-19,” ciapnya di Twitter miliknya.

Semasa membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat pada 27 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihak kerajaan amat berterima kasih kepada Bank Negara Malaysia dan industri perbankan yang menawarkan moratorium bayaran pinjaman selama enam bulan.

Katanya lagi, sebagai balasan kerajaan bersetuju supaya pendapatan pihak bank daripada faedah atau keuntungan ke atas pinjaman atau pembiayaan yang terlibat dengan penangguhan bayaran balik pinjaman atau pembiayaan ini, hanya dikenakan cukai apabila pendapatan tersebut diterima selepas tempoh moratorium.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri berhubung dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Namun, kerajaan dan rakyat perlu komited demi kepentingan dan keselamatan negara.

“Kelonggaran yang diberi jangan sampai wujudnya kenaikan kes baharu COVID-19 selepas ini,” katanya.