Tuesday, August 16, 2022

Lee: Kami akan jaga setiap pekerja dan keluarga anda!

Secara Rawak

SINGAPURA: Dalam jangka masa panjang, Covid-19 pasti akan menyebabkan banyak perubahan struktur kepada ekonomi global dan ekonomi Singapura. 

Menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong, beberapa 

industri akan terkubur, jadi syarikat-syarikat perlu menukar model perniagaan mereka untuk bertahan. 

“Ada pekerjaan yang akan lenyap. Dan para pekerja dalam industri ini perlu mempelajari kemahiran baharu untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor-sektor baru. Kami akan menggandakan usaha untuk melindungi para pekerja bebas, dan pekerja dalam ekonomi gig, bagi memantapkan pendapatan mereka dalam keadaan yang kurang stabil,” katanya dalam perutusan Hari Buruh hari ini.

Namun terdapat juga peluang-peluang baharu. Kami akan berusaha gigih untuk membantu syarikat-syarikat menyesuaikan diri, dan melatih semula para pekerja bagi pekerjaan baru yang ada. Kami akan mempertingkatkan program-program SkillsFuture untuk melatih para pekerja secara besar-besaran,” ujarnya. 

“Kami tidak boleh menyelamatkan setiap pekerjaan, tetapi kami akan menjaga setiap pekerja dan keluarga anda. Semua negara perlu menyesuaikan diri dengan dunia pasca Covid-19,” katanya. 

Jelasnya, cabarannya bagi Singapura adalah lebih serius kerana ia adalah negara yang begitu kecil dan terdedah kepada arus globalisasi. 

“Bagaimanapun, inilah juga kelebihan kita. Saiz kecil membolehkan kita untuk berdaya bingkas. Yang lebih penting, kita memiliki ciri-ciri untuk berjaya,” tegasnya.

“Walau bagaimanapun dunia berubah, kita mesti sentiasa berjuang sebagai satu pasukan Singapura, berganding bahu melindungi golongan yang memerlukan, dan tidak mengabaikan sesiapa pun,” katanya lagi. 

“Inilah sebabnya mengapa ketika virus ini mula merebak di dunia, Pemerintah membawa pulang rakyat Singapura yang berada di luar negara. Ini termasuk para pelajar kita di Timur Tengah. Kami tidak membiarkan mereka terbengkalai begitu sahaja,” kata Lee. 

“Inilah sebabnya kami mengambil berat tentang para pekerja asing kita. Inilah juga sebabnya mengapa kami menggunakan rizab kita, untuk mencegah pembuangan pekerjaan serta membantu golongan bergaji rendah,” katanya.

Kata Lee, beliau faham tempoh pemutus rantaian jangkitan telah mengakibatkan banyak kesulitan buat anda dan kita semua. Sekatan-sekatan ini telah menjejas perniagaan dan pekerjaan, dan menyebabkan banyak gangguan. 

“Tetapi anda telah menunjukkan daya tahan yang tinggi, dan membuat penyesuaian dengan baik,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru