KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 127 orang pelajar terdiri daripada 79 pelajar dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kolej iSystem (17), Kolej SEGI (2), Kolej Swinburne (3), UCSI (5), Asia Metro (17), Kolej MSU (3) dan Sarawak Skill (1) telah dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing menggunakan lapan buah bas yang ditempah khas bermula dari tempat pelepasan di kampus UNIMAS kira-kira jam 10 pagi semalam.

Pelepasan pelajar-pelajar berkenaan telah disaksikan Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi bersama-sama dengan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS, Profesor Dr Kamarudin Kana dan para pegawai UNIMAS. 

UNIMAS sebelum itu telah mengatur persiapan rapi untuk memastikan pematuhan prosedur pergerakan menghantar pulang pelajar diikuti bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pelajar selamat sampai ke destinasi masing-masing.

Proses pergerakan pulang pelajar turut mendapat bantuan dan kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat yang membantu mensanitasikan bas sebelum pelajar memasuki bas yang disediakan.

Manakala anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) membantu bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti amalan penjarakan sosial dan pemakaian topeng mulut dan hidung dipatuhi sebaik sampai ke destinasi masing-masing.

“Sebelum dibenarkan menyertai proses pergerakan pulang, pelajar-pelajar telah melalui saringan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu manakala beg-beg yang dibawa juga disanitasi sebelum dibawa masuk ke dalam bas.

Selain itu, sepanjang perjalanan, pelajar ditemani oleh seorang Pegawai Perhubungan UNIMAS dan dua orang pemandu bas yang ditugaskan mengikuti perjalanan terbabit sehingga ke destinasi yang dituju.

Pelajar-pelajar berkenaan juga tidak dibenarkan melakukan sebarang perubahan tempat duduk di dalam bas atau mengubah laluan destinasi asal mereka.

UNIMAS bertindak sebagai Koordinator untuk menyelaras pengangkutan bagi program menghantar pulang pelajar-pelajar IPT di Sarawak ke bahagian-bahagian dalam Sarawak/Sabah dan Semenanjung Malaysia, selepas mereka menetap di dalam kampus sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan bermula sejak 18 Mac lalu.

Turut dihantar pulang semalam ialah pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Samarahan, UiTM Mukah, Politeknik Mukah dan Politeknik Kuching sebanyak 104 orang dengan tempat pelepasan mereka adalah bermula dari kampus masing-masing.

Antara destinasi pelajar-pelajar yang dihantar pulang hari ini adalah ke lokasi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, Bau, Lundu, Pusa, Padawan, Simunjan dan Serian.

Manakala pelajar-pelajar IPT dari Semenanjung yang akan pulang ke Sarawak akan diselaras oleh ‘Sarawak Volunteers’.