KOTA SAMARAHAN: Jadual pergerakan balik pelajar UiTM Cawangan Sarawak perlu diselaraskan dengan universiti-universiti lain.

Rektor UiTM Cawangan Sarawak Datuk Dr Jamil Hamali berkata, setakat ini pihaknya belum memuktamadkan lagi jadual pergerakan balik pelajar.

“Ini kerana kami dikehendaki menyelaras perjalanan balik pelajar UiTM Cawangan Sarawak dengan universiti-universiti yang lain,” katanya semalam.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kerja Raya) Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan bahawa terdapat 7,000 anak Sarawak yang belajar di Semenanjung Malaysia terkandas akibat PKP sejak 18 Mac lalu akan dibawa pulang ke negeri ini secara berperingkat-peringkat mulai 1 Mei nanti.

Katanya, kerajaan sedang mengumpul maklumat terperinci setiap pelajar daripada KPT, KPM, IPG dan Kolej Mara.

Dalam hal berkaitan, pelajar yang tiba di destinasi tidak akan balik terus ke rumah sebaliknya akan dibawa ke tempat kuarantin untuk menjalani saringan.

Menurut Fadillah, sampel akan diambil untuk diuji dan pelajar akan dikuarantin sementara menunggu keputusan.

Sekiranya keputusannya negatif, barulah pelajar dihantar balik ke rumah masing-masing atau mungkin diuji sebelum terus dihantar ke rumah untuk kuarantin di rumah.