Polis Sarawak bertindak lebih tegas operasi PKP fasa keempat

0
4

KUCHING: Jumlah kes tangkapan kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini memperlihatkan trend menurun sejak beberapa hari ini, sekali gus membuktikan keberkesanan penguatkuasaannya dan kesedaran semakin meningkat dalam kalangan rakyat.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail  berkata, dalam tempoh 24 jam berakhir pada 8 pagi tadi, terdapat 52 tangkapan.

Kuching merekodkan 13 orang, diikuti Miri (9); Sibu (5); Betong, Bau dan Simunjan masing-masing empat orang.

Kota Samarahan  dan Lubok Antu mencatatkan  tiga tangkapan masing-masingnya dan Sarikei  dua orang.

Manakala Padawan, Dalat, Lawas, Sri Aman  dan Lundu masing-masing seorang.

Jelas beliau, berdasarkan jumlah tangkapan yang semakin berkurangan sejak 25 April menunjukkan  kadar kepatuhan masyarakat di negeri ini bertambah baik.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri  dalam laporannya dalam beberapa hari ini berkata, kadar pematuhan ialah 97 peratus.

Untuk rekod, pada 25 April lalu terdapat 93 tangkapan,  pada 26 April terdapat 63 tangkapan,  pada 27 April 56 tangkapan.

Melalui kenyataan itu beliau menasihati   masyarakat agar terus menunjukkan sikap bertanggungjawab dan memberi kerjasama.

PKP  yang dimulakan pada 18 Mac lalu memasuki fasa keempat hari ini dan dijadualkan berakhir pada 12 Mei ini.

Aidi menegaskan pihaknya akan lebih tegas  dalam operasi penguatkuasaan PKP yang memasuki fasa keempat bermula hari ini.

“Operasi akan lebih ketat lagi,  polis akan bertindak tegas dan menangkap mereka yang masih berdegil dan tidak mematuhi PKP,” katanya dalam kenyataan itu.

“Mana-mana yang ingkar dan tidak mempunyai alasan munasabah akan diambil tindakan serta-merta,” tegas Aidi.