Friday, August 12, 2022

Pelantar minyak terus beroperasi ketika PKP

Secara Rawak

KUCHING: Semua pelantar minyak milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas) di luar pesisir negara beroperasi seperti biasa meskipun Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Petronas dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, kesemua 18 pelantar minyak miliknya beroperasi seperti biasa dan ia termasuk dengan operasi penggerudian.

Kenyataan tersebut sekali gus menafikan laporan sebuah akhbar yang mendakwa syarikat minyak nasional itu mengurangkan jumlah pelantarnya yang aktif sepenuhnya dari 18 menjadi empat dan 14 projek dihentikan sejak harga minyak mulai turun akhir tahun lalu.

Justeru kata Petronas, semua operasi pelantar minyak berjalan seperti biasa dan tiada penamatan atau penangguhan sementara dilakukan berikutan pandemik Covid-19.

“Petronas ingin menjelaskan terdapat penangguhan sementara projek di beberapa tapak kerja berikutan PKP yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Pada masa ini, kebanyakan projek ini sama ada telah menyambung semula aktiviti kerja mereka atau disambung semula tidak lama lagi selepas mendapat kebenaran yang diperlukan daripada kerajaan,” ujarnya.

Selain itu katanya, Petronas sedang berusaha untuk mengurangkan impak pandemik terhadap program perbelanjaan modal (Capex) domestik yang dirancang. “Bagaimanapun, kami menjangka beberapa projek akan menghadapi kelewatan ekoran sekatan pergerakan yang berpanjangan di peringkat global dan PKP di Malaysia,” jelasnya.

Terdahulu, keuntungan bersih Petronas turun 27 peratus kepada RM40.5 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 daripada RM55.3 bilion dalam tahun kewangan 2018 berikutan hasil rendah yang susut empat peratus kepada RM240.3 bilion daripada RM251 bilion pada tahun sebelumnya.

Perkara ini dinyatakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin semasa taklimat media mengenai prestasi kewangan 2019 syarikat itu di Kuala Lumpur pada 26 Februari lalu.

Menurutnya, keuntungan bersih rendah itu adalah disebabkan hasil rendah dan rosot nilai bersih bagi aset berjumlah RM7.3 bilion manakala hasil lemah itu adalah disebabkan purata harga direalisasi rendah bagi produk utama.

Beliau berkata, 2019 merupakan tahun yang sukar kerana industri terus dibayangi situasi tidak menentu yang berterusan dengan ketidakstabilan geopolitik serta peningkatan perlindungan perdagangan dan pada penghujungnya dilanda penularan wabak Covid-19.

Wan Zulkiflee menjelaskan, harga tenaga dan komoditi terus menunjukkan prestasi tidak menentu di tengah-tengah situasi ini dengan harga purata minyak mentah berada pada AS$64 setong pada 2019, lebih rendah berbanding harga purata AS$71 setong pada 2018.

Justeru katanya, keseluruhan industri tidak bersedia dengan impak daripada penularan Covid-19 dan ia menyebabkan permintaan dari China merosot terutama bagi gas asli cecair (LNG).

Tambahnya, prospek bagi industri minyak dan gas masih lemah memandangkan ketidaktentuan geopolitik yang masih berterusan, ketegangan perdagangan yang berlarutan dan gangguan permintaan dalam tempoh terdekat ini berikutan penularan Covid-19.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru