Sunday, July 3, 2022

Lelaki hilang di Miri akhirnya dijumpai 6 km dari rumah panjang 

Secara Rawak

MIRI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR)  diteruskan untuk menjejakinya Cassidy Ali, 23 tahun.

Dan akhirnya, lelaki itu dijumpai selamat jam 10.45  pagi tadi, sekitar enam kilometer dari rumah panjang, menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak.

Dia telah dibawa ke Pos kawalan Bomba dan tiba di situ jam 1.30 tengah hari.

Mangsa, katanya, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Cassidy dilaporkan hilang selepas keluar memancing bersama-sama rakannya di Sungai Melikat di Marudi, Jumaat lalu.

Dia dilaporkan memancing di sebelah hulu sungai itu, manakala rakannya di sebelah hilir dengan jarak sekitar 80 meter.

Setelah gagal menemui mangsa, penduduk kampung mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Marudi sebelum perkara itu dimaklumkan kepada pihak bomba.

Usaha mencari mangsa pada hari pertama dan kedua dilakukan penduduk kampung bermula petang Sabtu dan diteruskan pada pagi semalam. SAR memasuki hari ketiga hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak sebelum ini dipetik berkata, usaha pencarian telah diperluaskan sehingga 10 kilometer radius dari lokasi terakhir mangsa dipercayai hilang.

Katanya, operasi SAR dijalankan di sepanjang laluan ke lokasi tempat mangsa memancing.

“Pencarian menggunakan teknik ‘mengikut sungai’ juga telah dilakukan di sepanjang tebing anak sungai tempat si mangsa memancing,” beliau dipetik berkata.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru