TINDAKAN mencari kambing hitam bukan baharu, sebaliknya, sudah lama berlaku dalam sejarah pandemik yang melanda dunia. 

Orang Yahudi dipulau dan dibenci ketika Black Death yang mengorbankan hingga 200 juta orang melanda Eropah dari 1347 hingga 1351. Pendatang Irish dituduh membawa kolera di AS pada abad ke-19, manakala orang Haiti turut dibenci ketika menularnya wabak AIDS.

Tindak balas terhadap pandemik adalah dalam bentuk xenofobia, iaitu kebencian terhadap orang asing, penyebaran berita angin palsu, di sebaik sikap empati, altruisme, sikap prihatin dan usaha membantu orang lain. 

Masyarakat berketurunan Asia, kaum minoriti, pendatang, pelarian, malah penganut agama tertentu di seluruh dunia berdepan pelbagai tindak balas xenofobia, kecaman, cercaan, hinaan dan sebagainya. 

Hakikatnya,   pada masa krisis, sentimen tidak percaya, prasangka dan stereotaip akan semakin berleluasa terhadap agama, etnik atau keturunan tertentu di sesetengah negara.

Di Malaysia, keadaan yang sama berlaku. Kecaman dihalakan kepada golongan tabligh yang didakwa menjadi punca menularnya Covid-19 di negara ini gara-gara perhimpunan mereka di Petaling Jaya pada akhir Februari lalu. Mereka dilabel sebagai bom jangka dan punca penularan teruk virus Covid-19 di  negara ini.

Kini, etnik Rohingya yang menjadi  imigran di negara ini juga tidak terlepas menjadi sasaran xenofobia dan kebencian di negara ini. 

Etnik Rohingya yang dianggarkan sekitar 150,000 di negara ini disifatkan sebagai diberi betis mahu paha.

Mereka turut dilabelkan sebagai angkuh, tidak sedar diri dan perlu dihantar balik ke negara asal. Myanmar tidak mengiktiraf mereka sebagai rakyat negara itu. 

Kebencian terhadap etnik Rohingya di Malaysia tercetus daripada banyak berita palsu mengenai mereka, termasuk kononnya, mereka memohon kerakyatan di negara ini. 

Antara sentimen kebencian di media sosial ialah, “Tentera tembak je mereka…Macam sial Rohingya nie.” Juga, “Malaysia pegi tempat orang kalau perangai p*k* macam Rohingya pun aku setuju je kalau negara tu tembak terus. Aku dari awal lagi bukan human rights punya geng.”

Untuk mengetahui penderitaan dan kesengsaraan etnik Rohingya dan umat Islam di Myanmar, mungkin anda perlu membaca buku Myanmar’s Enemy Within: Buddhist Violence and The Making of A Muslim ‘Other’ karya Francis Wade. 

Saya kini mengambil kesempatan menelaah buku setebal 419 halaman ini waktu kita sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan.

Kebencian turut dikesan dilontarkan sesama kaum di negara ini seperti yang dapat dikesan melalui media sosial. 

Jangan terkejut jika ungkapan benci termasuk  “bodoh”, “p*k*m*k”, “babi”, “pariah”, “malas”, “miskin”, “p*nd*k”, dan “l*nc*u” digunakan dengan agak meluas. 

Menurut kajian The Centre, ungkapan berbaur perkauman  meningkat selari dengan pertambahan kes positif Covid-19.  

Ia mendapati sejumlah 706 pernyataan negatif terhadap Melayu/Muslim dalam bentuk ciapan Twitter direkodkan sepanjang 27 Februari hingga 25 Mac. Perkataan “malas” merupakan yang paling kerap digunakan, diikuti oleh “bodoh”. 

Daripada kumpulan ciapan anti-Cina, 506 pernyataan negatif  direkodkan dalam tempoh yang sama. Perkataan “bodoh” merupakan yang paling sering digunakan, diikuti oleh “p*nd*k”. 

Katanya, ungkapan kebencian dalam ciapan anti-India adalah rendah jika dibandingkan dengan kumpulan etnik lain – sejumlah 156 pernyataan dalam tempoh waktu yang sama. Istilah “p*nd*k” paling banyak digunakan dalam ciapan anti-India, diikuti oleh “bodoh”.

Anda hanya perlu berada di pihak yang menjadi sasaran untuk merasai  dan memahami bagaimana perasaan ketika orang lain memulau, membenci dan mengecam anda. 

Mungkin mereka yang melontarkan ungkapan kebencian dan berperlakuan prejudis itu tidak memikirkan kesan mendalam terhadap emosi, jiwa dan minda golongan yang menjadi sasaran. 

Kalaulah anda punya sedikit rasa empati, anda akan tahu bagaimana jika anda dibenci, dihina, diperlekeh dan dikecam orang lain. 

Ya, terutama jika kaum, keturunan dan agama anda dihina dan dipandang rendah.  Sebaik-baiknya letakkan diri anda dalam kedudukan individu atau etnik berkenaan untuk mudah memahami dan menyelami perasaan mereka. Hakikatnya, virus ini tidak mengenal geopolitik, kaum, agama, warna kulit, gender dan usia.

Jadi, kita perlu memikirkan kesan setiap pertuturan dan perbuatan kita yang mungkin menyakitkan hati golongan yang menjadi sasaran. 

Anda tidak harus berprasangka dan mengamalkan diskriminasi songsang bahawa golongan tertentu menjadi penyebab virus ini. 

Persepsi bahawa golongan, kaum atau keturunan tertentu penyebab penularan virus ini bukan sahaja mencetuskan kebencian tetapi juga membawa kepada kehilangan pekerjaan, bantuan, dan penafian memperoleh keperluan asas seperti perkhidmatan kesihatan.

Tindakan dan sikap menyalahkan mana-mana golongan atas kepercayaan bahawa mereka bertanggungjawab dalam penyebaran virus ini hanya akan mengeruhkan lagi hubungan antara kaum dan agama. 

Kita perlu bersikap rasional dengan menggunakan akal waras dan akal sihat, dan bukannya dipengaruhi emosi, kesendengan, prasangka dan diskriminasi pada waktu-waktu begini. 

Ini bukan masa untuk menyemai dan menyemarakkan kebencian, sebaliknya perasaan kasih sayang, rasa peduli dan prihatin, serta saling membantu lebih-lebih lagi ketika kita menjalani ujian pada bulan Ramadan yang mulia ini.