Tuesday, June 28, 2022

PKP bertambah sukar tiada perkhidmatan mesin wang ATM

Secara Rawak

KUCHING: Saranan untuk mewujudkan bank dan perkhidmatan ATM di Pakan menjadi impian besar penduduk di situ malah ia sangat diperlukan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Adun Pakan Tan Sri William Mawan Ikom berkata, sayangnya kuasa membuka perkhidmatan ATM dan bank di sesebuah kawasan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia.

“Malah sebelum ini, mantan Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum dan saya sendiri sewaktu menjadi Ahli Parlimen Saratok pernah mengusulkan permohonan agar perkhidmatan ATM dan bank diwujudkan di Pakan.

“Kita juga memahami keperluan penduduk terutamanya ketika PKP ini kerana mereka memerlukan aliran wang tunai. “Ditambah lagi dengan wang bantuan Kerajaan Sarawak, jadi ia semakin sukar,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Beliau percaya bahawa Kerajaan Sarawak seboleh-bolehnya mahukan perkhidmatan tersebut diadakan bukan sahaja di Pakan malah di seluruh Sarawak khusus-nya di kawasan luar bandar.

Namun pada 16 April lalu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyatakan terdapat kerjasama antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan Bank Negara Malaysia bagi mengenal pasti agen perbankan yang mempunyai dana yang cukup.

Ini bagi memastikan perkhidmatan perbankan sentiasa lancar terutama bagi memudahkan urusan semua pihak. Kenyataan berkenaan telah disokong oleh Ahli Parlimen Julau Larry Sng yang turut memuji inisiatif yang telah diusahakan oleh MKN dan Bank Negara Malaysia.

“Justeru, saya akan terus dari semasa ke semasa membuat pertanyaan susulan ke atas perkara ini atas kapasiti saya sebagai seorang Adun kawasan. “Kita berharap Bank Negara dapat mempertimbangkan inisiatif atau sebarang alternatif lain secepat mungkin,” katanya.

Mawan juga menggesa semua rakyat untuk memberi sokongan kepada usaha MKN dan Bank Negara bagi mencari mekanisma yang sesuai untuk memenuhi keperluan rakyat luar bandar terutamanya sepanjang PKP.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru