Tuesday, August 16, 2022

Jumlah tangkapan kembali meningkat di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Mereka yang ingkar PKP dalam fasa ketiga dari 15 April hingga 28 April tidak akan lagi dikompaun RM1,000.

Sebaliknya, mereka  akan ditahan dan direman, kemudiannya didakwa ke mahkamah. 

Namun, kelihatannya, tindakan sedemikian tidak mematahkan semangat segelintir penduduk di Sarawak untuk mengingkarinya.

Buktinya?

Jumlah individu yang ingkar PKP  di negeri ini kembali meningkat dengan 141 tangkapan.

Ya, ini bagi tempoh 24 jam dari 8 pagi Ahad sehingga 8 pagi hari ini berbanding tempoh masa sama semalam. 

Dalam tempoh 24 jam sebelum itu hanya 83 tangkapan dibuat di Sarawak. Maksudnya, peningkatan sebanyak 58 orang.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar dalam satu kenyataan, jumlah itu bertambah jika dibandingkan 83 tangkapan bagi tempoh masa sama sebelum ini.

“Dengan peningkatan itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditangkap kerana ingkar PKP sejak 18 Mac di Sarawak adalah 1,235 orang,” katanya. 

Dev berkata,  Kuching mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 45 orang.

Ini, katanya,  diikuti Padawan sebanyak 22 orang dan Miri sebanyak 18 orang dan Mukah 6 orang.

Kota Samarahan, Sarikei, dan Limbang masing-masignya lima orang.

Di Sibu  pula (4), Saratok (4), Meradong (4), Serian (3), Betong (3), Kapit (3), Bintulu (2), Bau (2), Lubok Antu (2), Simunjan (2), Belaga (2), Dalat (2), Sri Aman (1) dan Julau (1). 

Mereka ditangkap di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.  

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru