Tuesday, June 28, 2022

Mahu tahu kisah hero kita Datuk Dr Noor Hisham, baca kisahnya…

Secara Rawak

Rakyat Malaysia menjulang beliau sebagai wira mereka. Tetapi Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah enggan dilabel sedemikian, sebaliknya gelaran itu wajar ditujukan kepada pasukan barisan depan yang bekerjasama secara padu dalam menangani ancaman Covid-19 ketika ini.

Media antarabangsa Rabu lalu melaporkan Dr Noor Hisham   yang telah menjadi ketua Pengarah Kesihatan sejak 2013 itu sebagai antara doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN).

Ini berdasarkan kewibawaan beliau menangani krisis Covid-19.

Menurut laporan CGTN, Dr Noor Hisham adalah antara tiga doktor terulung peringkat global dalam perang menentang coronavirus.

Selain beliau, turut diberi gelaran tersebut ialah  pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield.

Ketiga-tiga mereka dipuji kerana sejak beberapa minggu lalu, mengenengahkan penampilan yang ‘tenang, jelas dan meyakinkan’ bagi menyalurkan maklumat serta fakta kepada orang ramai mengenai pendemik ini.

Menurut CGTN, mereka  berjaya muncul sebagai ‘wajah’ negara masing-masing dalam memerangi wabak Covid-19, malah ada yang menggelar mereka ‘pujaan hati, rock star dan hero negara’ di media.

Setiap petang, pada jam lima, rakyat Malaysia menunggu kehadiran beliau di kaca televisyen.

Segala butir kata dan data yang dikeluarkan tokoh negara, dan kini tokoh antarabangsa itu diteliti dan diamati.

Kemampuannya bercakap dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang lancar dikagumi. Penjelasan dan jawapannya kepada soalan media amat terang meskipun sekali-sekala diselit dengan istilah perubatan yang sukar dimengerti oleh orang kebanyakan.

Tidak banyak yang didedahkan dan diketahui tentang latar belakang Dr Noor Hisham, kecuali beliau menerima ijazah perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1988. Pada 1994 beliau mendapat ijazah sarjana daripada universiti yang sama dalam bidang pembedahan.

Rakyat Malaysia sedar bahawa beliau pemimpin yang sibuk. Namun, dalam kesibukan tugasnya menangani isu-isu berkaitan Covid-19, Dr Noor Hisham masih lagi punya waktu untuk membalas surat  yang ditulis oleh Lara Khadijah McAfee, seorang murid tahun tiga berusia sembilan tahun dari Terengganu.

Dalam surat balasannya bertarikh 16 April Dr Noor Hisham menyatakan beliau amat menghargai kata-kata dan pemberian gelang Lara Khadijah.

Rakyat Malaysia amat tersentuh dengan surat terbabit, malah ia sempat tular sepanjang hari  semalam.

Menyatakan bahawa gadis itu dan rakyat Malaysia bersama-sama berperanan memutuskan rantaian penularan Covid-19 dengan duduk diam di rumah.

Beliau berharap Lara Khadijah tidak begitu bimbang dan yakin wabak Covid-19 yang melanda dunia kini akan berakhir tidak lama lagi.

Dr Noor Hisham berharap Lara Khadijah akan belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai impiannya kerana suatu hari nanti akan tiba masa gadis itu membantu Malaysia.

Beliau menandatangani surat kepada Lara Khadijah  dengan kata-kata “From your new friend, Dr Hisham.”.

Ya, surat itu jelas menyentuh hati rakyat Malaysia yang rata-rata terkesan dengan sikap rendah diri doktor  yang akan menyambut ulang tahun ke-57 dalam tiga hari lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru