Tuesday, June 28, 2022

Langgar PKP: Menteri sifatkan dirinya bodoh, tetapi rakyat jangan jadi bodoh

Secara Rawak

Ada tiga perkara atau kejadian yang menarik perhatian rakyat berkaitan dengan tindak-tanduk sesetengah rakyat kita ketika Perintah kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Pertama, tindakan individu yang memuat naik satu posting yang tular mendakwa mereka sekeluarga berjaya melepasi sekatan jalan raya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sejak Khamis, tular posting seorang lelaki memberitahu dia dan keluarganya selamat tiba di ibu kota bersama-sama isteri dan anak-anaknya meskipun pergerakan merentasi di antara negeri tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Lelaki tersebut mendakwa dia berjaya berbuat demikian kerana memberi alasan hendak membawa anaknya pergi ke hospital.

Individu dan keluarganya  sudah balik ke Kuala Lumpur dan akhirnya memberi tip kepada orang ramai. 

Dia mengongsikan tip atau  cara hendak menipu polis. Individu tersebut bangga diri dengan keberanian dan ‘kepintarannya’ sekali gus tentang kesalahan yang dilakukannya.

Rata-rata netizen meluahkan perasan berang dengan tindakan keluarga tersebut yang dianggap sanggup menipu demi kepentingan diri sendiri.

Kedua, tindakan seorang wanita yang mendakwa dengan bangga di media sosial bahawa dia menggunakan nama Ketua Polis Negara untuk melanggar PKP. 

Polis sedang menjejaki  wanita itu untuk dirakam percakapan susulan  dakwaan berkenaan.

Namun, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata beliau tidak pernah dihubungi mana-mana pihak atau individu untuk mendapatkan kebenaran bagi membuat pergerakan ke mana-mana destinasi.

Terdahulu, tular status yang dimuat naik seorang wanita di Twitter yang mendakwa menggunakan “cable” Ketua Polis Negara dalam usahanya melakukan pergerakan ke Kuantan, Pahang.

Namun, selepas mendapat kritikan netizen, wanita berkenaan bertindak memadamkan akaun media sosialnya, namun beberapa tangkap layar status berkenaan masih berlegar di media sosial.

Ketiga, turut tular di media sosial beberapa gambar pemimpin, termasuk daripada kerajaan yang  membuat lawatan dan menikmati hidangan makanan semasa PKP. Pemimpin itu dikelilingi ramai orang ketika makan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada siapa boleh terlepas hukuman sekiranya mengingkari arahan PKP yang dilaksanakan sehingga 28 April ini.

“Saya ingin beri ingatan kepada semua. Jangan berbangga apabila melakukan kesalahan dan mempengaruhi orang ramai untuk mengikut tindak tanduk mereka melakukan kesalahan,” kata beliau dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata pihak polis telah mengenal pasti mereka ini dan tindakan akan diambil terhadap mereka. 

“Tiada siapa pun boleh terlepas daripada tindakan undang-undang dan polis jika melakukan kesalahan,” katanya.

Ironinya, mereka sendiri telah mengakui ingkar akan peraturan PKP.  Mereka bukannya tidak tahu implikasi dan kesannya jika mereka melanggar peraturan berkenaan. Hukuman penjara dan denda! Tetapi mengapakah mereka sanggup berbuat demikian?

Kemudiannya dengan berbangga dan tanpa rasa bersalah menyebarkannya kepada seluruh dunia. Adakah ini satu penyakit selepas terkurung lama di dalam rumah? Atau ini berlaku kerana ego atau akal singkat?

Saya tidak tahu apa jenis manusia sedemikian. Adakah kerana ego dan terlalu bangga berjaya memintas pihak berkuasa, termasuk polis, maka mereka rasa hebat?

 Adakah betul mereka memang  hebat? Atau mereka sebenarnya bebal dan bodoh.

Ya, lebih tepat dikatakan paloi atau bahlul kerana selepas melakukan kesalahan, mereka mengakui melakukannya kepada pihak berkuasa. Dari satu segi, mereka ini sebenarnya mencabar kuasa pihak berkuasa. Jadi, mereka perlu diambil tindakan.

Seperti kata, Ismail Sabri, golongan ini tidak harus menganggap diri sebagai jaguh atau hero kerana akhirnya tindakan akan diambil polis sehingga menyusahkan diri sendiri dan keluarga.

Bagi wanita yang kononnya menggunakan kabel, apakah alasan dan motifnya berbuat demikian. Sama ada benar atau tidak, itu lagi satu perbuatan bodoh dan memperlihatkan tindakan tidak waras dan tidak wajar.

Kalau pun benar, mengapa harus diberitahu kepada seluruh dunia? Adakah sekali lagi kerana bangga punya kabel sekuat itu?

Tidakkah dia fikirkan implikasinya kepada dirinya dan pihak terbabit?

Tentang pemimpin termasuk timbalan menteri yang makan beramai-ramai itu, kita tidak tahu apa yang ada dalam fikiran menteri itu.

Ketika kerajaan yang turut diterajuinya menggesa rakyat supaya diam di rumah dan mengamalkan penjarakan sosial, dia pula melakukan perkara sebaliknya. Ini bukan masa untuk dapat mileage. Atau menteri seperti ini perlu letak jawatan ikut langkah yang diambil oleh seorang menteri di New Zealand.

Menteri itu akhirnya menawar diri untuk meletak jawatan setelah mengaku melanggar perintah kawalan pergerakan ketika ia dikuatkuasakan di negara itu.

Menteri Kesihatan, Dr David Clark berkata demikian pada Selasa selepas mendedahkan beliau melakukan perjalanan sejauh 20 kilometer ke pantai bersama keluarganya.

Dr Clark mengaku perjalanan itu satu pelanggaran peraturan yang jelas di mana ahli keluarga perlu berada di dalam rumah.

Menteri itu menyifatkan dirinya sebagai “bodoh” dengan tindakan itu.

Clark mengaku sebagai Menteri Kesihatan, beliau sewajarnya menjadi contoh kepada seluruh warga New Zealand.

Adakah manusia sudah tidak lagi berfikir secara normal dan waras pada era ‘new normal’ ini selepas berkurung lama di bawah Perintah Kawalan Pergerakan?

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru