Sunday, September 19, 2021

Ekonomi global dijangka alami kemelesetan paling teruk sejak 1930-an

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Dipacu oleh pandemik COVID-19, ekonomi global mungkin akan mengalami kemelesetan paling teruk sejak Zaman Kemelesetan pada tahun 1930-an, dan jauh lebih buruk daripada krisis kewangan global 2009, kata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) hari ini.

“Ini adalah krisis yang tidak pernah berlaku dan wujud ketidaktentuan mengenai kesannya terhadap kehidupan rakyat,” kata ketua ekonominya, Gita Gopinath dalam Prospek Ekonomi Dunia terkini.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kini diunjurkan pada -3.0 peratus pada tahun 2020, kemelesetan jauh lebih buruk daripada pengurangan 0.1 peratus semasa krisis kewangan global 2009.

Unjuran pertumbuhan diturunkan lebih daripada enam mata peratusan berbanding pertumbuhan 3.3 peratus yang dikemas kini oleh IMF pada Januari – semakan yang luar biasa dalam tempoh yang singkat

“Keadaan yang digelar ‘The Great Lockdown’ ini dijangka menyebabkan kemerosotan pertumbuhan global secara mendadak.

Pemulihan separa diunjurkan untuk 2021, dengan tahap KDNK akan kekal di bawah trend pra-virus, dengan ketidaktentuan terhadap tahap pemulihan kelak,” katanya.

Hasil pertumbuhan buruk mungkin akan berlaku.

Ini akan terjadi jika langkah pencegahan pandemik itu berlaku lebih lama, negara sedang berkembang dan membangun akan terjejas teruk, keadaan kewangan yang sukar akan berlanjutan, atau ia mungkin menyebabkan penutupan penutupan perniagaan dan kadar pengangguran, katanya seperti dipetik Bernama.

Gita berkata krisis ini perlu ditangani dalam dua fasa: fasa pencegahan dan penstabilan diikuti oleh fasa pemulihan. Dalam kedua-dua fasa, kesihatan awam dan dasar ekonomi mempunyai peranan yang penting.

“Kuarantin, perintah berkurung, dan penjarakan sosial adalah kritikal untuk memperlahankan penyebaran COVID-19, memberi masa kepada sistem penjagaan kesihatan untuk mengatasi permintaan yang meningkat bagi perkhidmatan mereka dan masa untuk penyelidik membangunkan vaksin.

Langkah-langkah ini dapat membantu menghindari kejatuhan aktiviti yang lebih teruk dan berlarutan dan menetapkan tahap pemulihan ekonomi,” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru