Sunday, September 19, 2021

Covid-19: Empat pasukan bertindak ditubuh di Sarawak

Mesti baca

KUCHING: Setelah mendengar pandangan daripada pakar-pakar kesihatan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah membuat keputusan untuk menubuhkan empat (4) Pasukan Bertindak bagi mengukuhkan lagi pengurusan COVID-19 di Sarawak.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Pasukan Bertindak Pertama adalah “Accelerating Flattening the Curve (Current Wave)” yang akan bertindak melihat dan membuat cadangan mengenai cara untuk mempercepatkan penurunan lengkung (curve) COVID-19 yang sedang meningkat.

“Antara perkara yang perlu dititikberatkan adalah isu berkaitan dengan notifikasi kes, penyiasatan kes, pengesanan kontak, pengesanan aktif kes, pendidikan kesihatan dan sebagainya.

“Pasukan Bertindak ini juga akan memantau perkembangan isu-isu yang telah dicadangkan. Saya telah melantik Dr. Jamilah Hashim bagi mengetuai Pasukan Bertindak,” katanya dalam satu sidang media harian COVID-19 di sini, Selasa.

Manakala bagi Pasukan Bertindak kedua yang akan diketuai Datu Prof. Dr. Andrew Kiyu pula adalah “Preventing and Controlling The Next Waves” yang bertindak melihat dan mengemukakan cadangan mengenai cara untuk menghadapi gelombang COVID-19 yang akan datang sama ada kecil atau besar dengan penuh bersedia.

Jelas beliau, pihaknya perlu belajar daripada masalah yang dihadapi semasa gelombang COVID-19 yang kecil ini dan cuba untuk memperbaikinya.

Sementara itu, untuk Pasukan Bertindak yang ketiga adalah “Preparedness Plan For The Big Wave” dan pihak JPBN Sarawak telah memilih Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian untuk mengetuai Pasukan Bertindak tersebut.

Kata Uggah yang juga merupakan Pengerusi JPBN Sarawak, Kui Hian akan memilih wakil-wakil atau pegawai kesihatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk berada di dalam Pasukan Bertindak Ketiga (Pengarah Hospital, Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit, Ketua Makmal dan Ahli Farmasi).

“Saya penuh yakin beliau dapat membantu untuk menyediakan cadangan bagi menghadapi kemungkinan gelombang COVID-19 yang besar,” ujarnya.

Seterusnya Pasukan Bertindak Keempat adalah “Real-time Analysis of Data on COVID-19” yang ditugaskan untuk mengetahui data yang ada mengenai COVID-19 di Sarawak serta untuk mendapatkan data sekerap mungkin dan mencadangkan mengenai perkara yang perlu dianalisa.

Tambah beliau lagi, Pasukan Bertindak akan membangunkan kapasiti bagi menganalisis data sama ada dari anggota Pasukan Bertindak atau yang diperoleh daripada pakar luar.

Secara asasnya, beliau memberitahu pihaknya perlu mengetahui data yang diperlukan untuk dianalisis dan tindakan segera boleh dilakukan berdasarkan hasil analisis data.

“Saya mahu tindakan kita didasarkan pada Sains dan Data (evidence based) dan kita tidak boleh berurusan dengan COVID-19 secara membuta tuli. Saya telah melantik Datu Prof. Dr. Andrew Kiyu untuk mengetuai Pasukan Bertindak ini,” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru