Thursday, May 19, 2022

Tulis ‘I am sorry’ sebanyak 500 kali, hukuman langgar PKP

Secara Rawak

Pelbagai bentuk hukuman dikenakan apabila seseorang melanggar hukuman di bawah perintah berkurung atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh dunia.

Semuanya bertujuan untuk memastikan rakyatnya akur dengan perintah atau arahan itu.

Kini sekitar empat bilion daripada sekitar lapan bilion penduduk dunia berkurung di dalam rumah.

Lain padang lain belalang.

Lain orang lain resamnya.

Lain negara lain hukumannya.

Dari hukuman ratusan ringgit hingga puluhan ribu ringgit.

Dari penjara dua bulan hingga penjara lima tahun.

Di India kita sering melihat video pihak polis merembat atau memukul orang ramai yang melanggar PKP.

Ada juga yang disuruh buat ketuk ketampi beratus-ratus kali.

Kadangkala ada yang sengaja melanggar. Ya mereka keluar dengan alasan yang remeh dan tidak begitu penting. Termasuk hendak membeli minuman keras, berjumpa kekasih hinggalah hendak makan angin.

Lain pula cara hukuman dilakukan terhadap pelancong yang melanggar perintah berkenaan di Rishikesh, India.

Pelancong dari pelbagai negara itu, termasuk dari Amerika Syarikat, telah diminta menulis, ‘Saya tidak patuh perintah berkurung, saya mohon maaf’. 

Demikian dilapor agensi berita AFP.

Dilaporkan sebanyak 700 orang pelancong telah mengingkari perintah tersebut.

Sejak perintah berkurung dikuatkuasakan pada bulan Mac, rakyat negara 1.3 bilion itu hanya dibenarkan keluar rumah untuk membeli barang makanan atau mendapatkan rawatan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru