Thursday, December 9, 2021

Perniagaan atas talian dapat sambutan hangat

Secara Rawak

SIAPA sangka sejak kebelakangan ini pembelian atas talian meningkat mendadak di sebalik kegusaran orang ramai terhadap penularan pandemik Covid-19.

Ia mungkin didorong oleh kepatuhan orang ramai terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan sejak 18 Mac lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bersetuju membatalkan bazar Ramadan adalah langkah terbaik, bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak berkenaan.

Menurut mereka, ini bukan masanya untuk memikirkan untung dan rugi memandangkan bazar boleh menyumbang penularan Covid-19, kerana lokasi itu sememangnya menjadi tumpuan awam.

Malah, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan penganjuran bazar Ramadan/Aidilfitri dan bazar Gawai Dayak turut dibatalkan. Keputusan itu, dicapai berdasarkan situasi semasa penularan wabak pandemik Covid-19, seterusnya bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sarawak terjamin.

Tanpa disedari, situasi itu mencetuskan kreativiti masyarakat untuk mencuba peniagaan cara baharu dan ada yang sudah merancang untuk mempromosi, memasar dan mengedar produk bazar Ramadan secara atas talian.

Dalam satu tinjauan, terdapat beberapa inisiatif dilakukan oleh masyarakat khususnya kumpulan peniaga bagi memastikan perniagaan mereka terus beroperasi.

Ada yang sudah mewujudkan laman Facebook bazar Ramadan sendiri sebagai alternatif untuk menarik pelanggan berurus niaga atas talian.

Usaha itu, nampaknya membuahkan hasil apabila sebahagian besar portal ini mendapat sambutan hangat apabila mempunyai lebih 1,000 pengikut biarpun baharu ditubuhkan.

Jika sebelum ini, pasaran atas talian hanya terhad dengan produk-produk hangat, pakaian, kuih-muih dan ubat-ubatan, namun kini tidak lagi. Malah, sudah ada yang menjual ikan segar, buah-buahan, sayursayuran dan sebagainya melalui talian!

Difahamkan ada antara pengusaha mencatatkan peningkatan pesanan secara mendadak selepas orang ramai mula bekerja dari rumah berikutan pengumuman PKP.

Perkembangan yang sama juga kita boleh lihat dalam bidang penyiaran apabila banyak syarikat penerbitan mula memperkenalkan akhbar digital kepada pelanggannya.

Namun, tahukah anda kebanyakan syarikat pencetakan hari ini berdepan dengan cabaran hebat antaranya, masalah jualan berikutan wujudnya Internet.

Perkembangan dunia tanpa sempadan itu membolehkan masyarakat mendapat berita hanya di hujung jari tanpa membeli surat khabar. Rentetan itu, banyak syarikat pencetakan mengalami kerugian daripada segi jualan, pengiklanan dan lain-lain lagi.

Bagi mengekang masalah itu, pihak terbabit tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa melakukan perubahan drastik dengan melakukan pelbagai insiatif bagi memastikan dunia surat khabar terus bernyawa dan antaranya mewujudkan akhbar digital.

Sebelum ini, kita terpaksa ke pasar untuk membeli surat khabar namun hari ini semuanya sudah ada di hujung jari. Pada masa sama, kita boleh membuat pesanan atau mendapatkan apa-apa juga perkhidmatan yang diperlukan.

Tidak sekadar itu, urusan pembayaran juga boleh dilakukan melalui Internet atau talian elektronik yang lain.

Ekonomi digital memberi tumpuan terhadap pasaran global selain mencipta peluang yang lebih luas kepada masyarakat niaga.

Ini bermakna ekonomi digital merapatkan jurang sosioekonomi rakyat, menjana peluang perniagaan melalui e-dagang, mencipta pendapatan melalui inovasi dan keusahawanan, serta meningkatkan peluang pekerjaan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru