KABONG: Ambil kesempatan edar dadah masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 seorang lelaki akhirnya diberkas polis yang melakukan rondaan di sini malam tadi.

Lelaki berkenaan ditahan kira-kira jam 8.55 malam di kawasan Kilometer 1 Jalan Kabong-Nyabor.

Ketua Polis Daerah Saratok,DSP Mordani Tanin berkata, ketika tiga anggota polis sedang melakukan pemantauan PKP OP COVID-19 mereka telah menahan sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Lelaki tersebut seterusnya telah dibawa ke Balai Polis Kabong dan dibuat pemeriksaan lanjut tubuh badan. Hasilnya pihak polis menjumpai satu plastik berwarna hijau dan mengandungi 18 paket plastik kecil lutsinar yang berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu.

“Semuanya dianggarkan seberat lebih kurang 4 gram. Suspek ditahan dibawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” ujarnya.

Lelaki tempatan berusia 52 tahun dan merupakan seorang penganggur serta sudah berkahwin itu seterusnya direman 4 hari sehingga Jumaat untuk siasatan lanjut.

Sekali gus suspek berdepan dua kesalahan serentak iaitu ingkar PKP dan membawa dadah berbahaya bersama.