Sunday, September 19, 2021

Pertimbangkan semula keputusan buka semula beberapa jenis perniagaan

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk membuka semula beberapa jenis perniagaan harus diberi pertimbangan semula sesuai seruan Kementerian Kesihatan Malaysia dan reaksi orang ramai.

Menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan,  operasi perniagaan seperti kedai gunting rambut dan dobi sebaiknya perlulah ditangguhkan kerana ia bukan keperluan mendesak, malah penganjuran bazar Ramadan juga tidak seharusnya diberikan kelonggaran.

“Reaksi orang ramai terhadap pembukaan perkhidmatan ‘non-essentials’ ini jelas tidak bersetuju,’ katanya dalam satu kenyataan.

“Malah kebanyakan pemain sektor tersebut juga telah menyuarakan kebimbangan mereka untuk beroperasi dalam keadaan pandemik sebegini.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mesti dikuatkuasakan dengan tegas sehingga Malaysia berjaya mencapai unjuran kes Covid-19 yang agak stabil,” ujarnya

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau memberi reaksi demikian susulan keputusan kerajaan membenarkan beberapa jenis perniagaan dan perkhidmatan seperti sektor pembinaan, penyelidikan dan pembuatan termasuklah juga kebenaran operasi kedai dobi dan kedai gunting rambut.

Kata Mohamad lagi, keutamaan kerajaan kini ialah memastikan kepentingan kesihatan umum tidak dikompromi dalam apa jua keadaan.

“Setiap dari kita harus memainkan peranan dalam menyumbang kepada survival komuniti kita. Tiada yang lebih penting dari memelihara nyawa dan keselamatan umum.

“Insya-Allah, sebaik sahaja pandemik ini berakhir, kita boleh bergaya semahunya dengan apa jua penampilan, berhari raya sepuasnya, menganjurkan pelbagai bazar dan bukan sekadar bazar Ramadan dan melakukan ziarah-menziarahi saudara-mara dan rakan taulan selayaknya,” tambah Mohamad.

Oleh kerana itulah katanya, tugas semua rakyat ialah memutuskan rangkaian pandemik COVID-19 dan mengurangkan jangkitan.

“Duduklah rumah, jaga kebersihan dan amalkan penjarakkan fizikal,” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru