Sunday, September 19, 2021

Cabaran hantar makanan ke pedalaman

Mesti baca

MIRI: Lebih 200 penduduk di 45 pintu rumah panjang dan penempatan semula di Ba Itam Bunau di Telang Usan menerima sumbangan bekalan makanan PKP.

Sumbangan disampaikan oleh Adun Telang Usan Dennis Ngau bersama-sama beberapa agensi dengan memasuki kawasan penduduk Penan itu menggunakan kereta pancuan empat roda dengan pemanduan selama enam jam dari bandar raya Miri termasuk melalui jalan sungai.

Dennis berkata, komitmen ditunjukkan semua pihak menerusi penyampaian bantuan untuk komuniti terjejas dan layak menerima bantuan di kawasan Telang Usan ini.

“Usaha sama Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, Pegawai Daerah Telang Usan dan kakitangannya, badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin GPS, serta sukarelawan banyak membantu proses ini,” katanya.

Ujarnya, semua pihak turun padang dan berusaha gigih memastikan penyampaian bantuan makanan disalurkan Kerajaan Sarawak dapat sampai ke tangan penerima. “Kawasan pedalaman di Telang Usan cukup luas dan untuk sampai ke sini amat mencabar.

Kita tidak mahu rakyat terputus bekalan makanan,” tegasnya. Katanya, kehidupan tidak lagi sama seperti sebelumnya terutama bagi yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Apatah lagi PKP menyukarkan penduduk untuk keluar mendapatkan bekalan makanan untuk keluarga. “Menerusi bantuan ini, ia sekurang-kurangnya memberi sinar kepada kehidupan pastikan ada makanan untuk anak-anak di atas meja,” katanya.

Jelasnya, walaupun kawasan tersebut hanya dapat dicapai melalui sungai, beliau tidak mahu masyarakat di situ serius dengan saranan kerajaan untuk tinggal di rumah.

“Biar kami yang buat kerja, anda tinggal di rumah,” katanya yang menyampaikan rasa terima kasih kepada TUDM atas kerjasama menyampaikan bantuan makanan ke beberapa kawasan terpencil di Ulu Tinjar dan Ulu Baram.

Secara Rawak

Artikel Terbaru