Tuesday, June 28, 2022

Mahu rambut pendek atau umur pendek?

Secara Rawak

KERAJAAN Persekutuan  telah membuat beberapa keputusan dari segi jenis perniagaan yang dibolehkan beroperasi waktu PKP dilaksanakan.

Ini termasuk membenarkan kedai gunting dan salun rambut memulakan semula perkhidmatan mereka.

Banyak yang tidak bersetuju dengan langkah dan keputusan berkenaan yang diumumkan kerajaan kelmarin.

Ini termasuk Persatuan Pendandan Rambut India Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Apakah alasan kerajaan membenarkan kedai gunting rambut beroperasi? Adakah ia dikategorikan sebagai perkhidmatan penting yang tanpanya orang tidak boleh hidup? Ini bukan soal hendak menjaga periuk nasi tukang gunting rambut atau tidak sensitif terhadap kebajikan mereka. Ini soal hendak menjaga nyawa banyak pihak.

Tidakkah kerajaan memikirkan  secara mendalam implikasinya?

Kita  tidak pasti kenapa kerajaan membenarkan orang ramai menggunting rambut di kedai gunting. Mungkin kerajaan punya justifikasi atau alasannya. Namun, apa-apa pun alasannya, ia tidak boleh dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Tetapi yang jelas berdasarkan komen dalam media sosial dan kumpulan WhatsApp, ramai yang tidak setuju.

Seyogia diingat, tukang gunting rambut dan orang yang menggunting rambut terdedah kepada virus ini.

Tukang gunting rambut dan pelanggan terdedah kepada risiko besar. Tidak bolehkah kita tidak menggunting rambut untuk satu atau dua bulan?

Bagaimana kedua-duanya hendak menjaga jarak selamat? 

Adakah anda dapat pastikan tukang gunting rambut itu tidak dijangkiti virus itu? Bagaimana anda tahu bahawa pelanggan juga  tidak membawa virus berkenaan? Andaikan tukang gunting rambut itu tidak dijangkiti. Tetapi katakan seorang sahaja pelanggannya dijangkiti. Bayangkan kesan lingkarannya?   

Pelanggan yang membawa virus itu akan menjangkiti tukang gunting dan tukang gunting itu akan menularkan virus itu kepada semua pelanggan lain selepas itu. Para pelanggannya pula balik ke rumah dan bergaul dengan orang lain tanpa sedar. 

Dari puluhan, jadi ratusan dan kemudiannya ribuan orang yang bakal dijangkiti. Jadi, tindakan membenarkan ia beroperasi adalah pramatang dan tidak begitu difikirkan secara mendalam ketika kita masih lagi bergelut untuk mengekang virus itu daripada terus menggila.

Bagi saya, keputusan itu keputusan yang tidak betul. Maksudnya, keputusan yang salah.

Jadi, jangan buka kedai pada masa ini. 

Ini bukan masa yang sesuai untuk buka kedai gunting rambut dan memotong rambut di kedai gunting rambut.

“Sementara banyak langkah berkesan telah diambil untuk mendapatkan kerjasama rakyat bagi memastikan mereka mengamalkan pembatasan sosial, amat mengejutkan mengapa kedai gunting rambut dibenarkan untuk beroperasi,” kata seorang kawan.

Penjarakan sosial, katanya adalah satu hal, tetapi terdapat banyak implikasi lain.

“Bagaimana anda memotong rambut tanpa membuka topeng muka?…Kebanyakan peralatan yang digunakan tukang gunting rambut dikongsikan, termasuk tuala, gunting, sisir dan sebagainya.  Adakah anda tahu virus apa yang melekat di situ?,” katanya lagi.

Beliau juga berkata, kerusi tukang gunting juga terdedah kepada virus berkenaan, sementara ruang kecil di dalam kedai tukang gunting rambut juga memungkinkan virus itu tersebar.

Beliau tertanya lagi, adakah semua tukang gunting rambut telah disahkan negatif Covid-19?

“Sarawak tidak semestinya ikut arahan Putrajaya,” tegasnya.

“Saya harap kebijaksanaan dan sikap rasional akan muncul ketika ini,” katanya lagi. 

Betul, bagi salun dan kedai gunting, hanya kegiatan menggunting rambut dibenarkan.

Kerajaan berkata, syarikat yang dibenarkan beroperasi dikehendaki mematuhi peraturan sedia ada, termasuk yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi penguatkuasaan.

Apakah peraturan standard yang perlu diikuti oleh tukang gunting rambut?

Ketika menulis rencana ini, saya ada menerima sebuah video bagaimana kedai gunting rambut di China memberi perkhidmatan mereka.

Gara-gara bimbang dijangkiti virus berkenaan, tukang gunting rambut meletakkan gunting dan peralatan lain pada batang kayu yang panjang ketika menggunting rambut pelanggan mereka

Mereka melekatkan peralatan salun seperti sikat, mesin pencukur dan pengering rambut pada kayu sepanjang kira-kira satu meter sebagai langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri mereka dan pelanggan.

Dalam satu kumpulan WhatsApp saya juga menerima berita seorang  tukang gunting rambut di Mississippi, Amerika Syarikat telah meninggal kerana dijangkiti virus Covid-19. Lelaki itu terus menggunting rambut ketika pandemik menular di negara itu.

Dalam satu kumpulan WhatsApp lagi saya terima mesej ini. “Nasihat saya sebagai bekas tukang gunting rambut, anda semua simpan sahaja rambut itu atau botakkan sendiri di rumah kalau rimas sangat,” katanya

Mesej itu menyatakan, pelanggan berisiko pembawa wabak Covid-19 ,dan setiap alatan yang digunakan tukang gunting tidak mungkin 100 peratus bersih setiap kali guntingan.

Jelasnya, setiap helai rambut yang jatuh di lantai atau berterbangan di meja atau kerusi tidak mungkin dapat dibersihkan setiap kali.

“Senang cerita berisiko tinggi. Kawan-kawan saya pun tak berani ambil risiko walaupun tengah pokai,” jelasnya.

Nasihat yang ini yang paling saya suka. 

“Anda tahan dulu. Baik sebulan rimas dengan rambut panjang daripada sebulan nanti anda terlantar di hospital atau mati.” 

Ya, kenapa tidak  tunggu sehingga lepas 28 April?

Ingat, sehingga semalam, 4,530 kes Covid-19 direkodkan di seluruh negara dengan 73 kematian.

Saya tidak fikir orang tidak boleh menunggu sehingga 28 April untuk memotong rambut mereka. Biar rambut panjang daripada umur tidak panjang. Persoalannya, mahu rambut pendek atau umur pendek?

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru