Sunday, June 26, 2022

Covid-19: Kenali kubur lebih sejuta mayat di pulau ini

Secara Rawak

Bagi anda yang pernah ke New York, Amerika Syarikat, anda tentu pernah mendengar Pulau Hart. 

Pulau itu terletak di sebelah timur Bronx, new York.

Panjang pulau itu ialah 1.6 km dan lebarnya 0.53 km.

Pada 1864 pulau itu digunakan sebagai medan berlatih oleh tentera AS.

Sebut tentang pulau itu, orang AS pasti tahu, di sebaliknya adalah segala yang bersisi gelap.

Penjara, pusat pemulihan remaja, pusat pemulihan dadah, pusat perlindungan gelandangan, pusat batuk kering, dan pulau itu juga dijadikan kubur besar.

Untuk ke pulau itu, anda perlu dapatkan kebenaran daripada Jabatan Penjara.

Sejak abad ke-19, pulau tersebut dipakai pemerintah kota untuk menguburkan jenazah yang tidak punya keluarga atau jenazah yang keluarganya tidak mampu mengadakan pemakaman. Ini termasuk golongan gelandangan yang banyak terdapat di New York. Namun, ada juga orang ternama dikuburkan di situ termasuk penulis lakon layar, pengarah filem, penulis drama, novelis, aktivis buruh dan penulis lirik atas sebab-sebab tertentu.

Pemakaman pertama di pulau itu adalah 20 tentera Union Army ketika Perang Saudara Amerika. 

Pada 27 Mei 1868, bandar raya New York membeli pulau itu daripada Edward Hunter.

Lebih sejuta mayat dikuburkan di pulau itu. Namun, sejak dekad pertama abad ini, hanya 1,500 dimakamkan di situ setahun. Kubur di situ kemudiannya dikenali sebagai Kubur Kota dan Padang Potter.

Pada 1870 pulau itu dijadikan tempat untuk mengkuarantin mereka yang dijangkiti wabak selesema kuning.

Menjelang abad ke-20, pulau itu menempatkan 2,000 pesalah juvenil.

Kini, New York dan AS muncul sebagai negara dan kota tertinggi jumlah kematian angkara Covid-19 di dunia.AS secara keseluruhannya telah mencatat lebih 500,000 kes jangkitan dan 20,000 kematian, kebanyakannya di kota ternama dunia itu.

Pada 1985, 16 mayat pesakit AIDS dimakamkan di sebelah selatan pulau itu, jauh dari kubur lain kerana dipercayai waktu itu, mangsa AIDS dapat menjangkiti mayat lain.

Kini hospital di New York melimpah dengan pesakit dan mayat juga melimpah sehingga pekerja rumah mayat dan penggali kubur berkejar dengan masa untuk mengurus mayat berkenaan.

Kita di negara ini  turut melihat video bagaimana mayat termasuk jenazah orang Islam berada di dalam beg dan menunggu masa untuk diuruskan.

Kerana begitu banyak jumlah pesakit yang mati di New York, kerajaan tiada pilihan kecuali terpaksa mengebumikan mayat berkenaan dalam kubur besar.

Ini mengingatkan warga New York kejadian yang berlaku 102 tahun lalu.

Ya, ketika itu New York seperti negara lain di dunia diserang Spanish Flu.

Lazimnya terdapat 24 jenazah yang dikuburkan di Pulau Hart dalam sehari. Angka itu kini bertambah.

Keranda kini dimasukkan ke dalam kubur berbentuk parit memanjang yang digali oleh mesin pengorek. 

Ketika kematian banyak melanda  begini Pulau Hart sibuk siang dan malam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru