Monday, June 27, 2022

Jumlah kematian semakin menakutkan: Tuhan, bebaskan kami dari Corona

Secara Rawak

Covid-19 telah menyerang  dan menular di 185 buah negara.  Virus berkenaan tidak mengira negara kaya atau miskin, membangun atau maju.

Semua diserangnya tanpa ampun. Ia juga menyerang semua  golongan dan kelas masyarakat — daripada pelacur hinggalah raja dan perdana menteri.

Juga, tidak kira apa-apa pun agama dan kepercayaan anda.

Virus seganas itu pernah muncul pada 1918. Spanish Flu  menyerang seluruh dunia 102 tahun lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya 50 juta dan menjangkiti 500 juta, termasuk di negara kita. 

Saya ingin merekomenkan dua buah buku untuk anda baca. Pandemic 1918 tulisan Catherine Arnold dan The Great Influenza karya John M Barry.

Baca sejarah untuk mendapat pengajaran daripadanya. Sekurang-kurangnya 20 buku pernah diterbitkan mengenai ibu segala pandemik itu.

Kita berdoa, Covid-19 tidak akan mengorbankan nyawa sebanyak itu, kerana memetik Perdana Menteri Tan Sri Muhyuddin Yassin, setiap nyawa adalah berharga, tidak kira kanak-kanak, dewasa atau warga emas.

Angka jangkitan   akibat Covid-19 kini sudah mencecah 1,697,356. Ya, hampir 1.7 juta orang. Ini bukan sedikit. Ingat, kadar jangkitannya begitu pantas bagai api marak.

Angka kematian pula mencecah 100,000  di seluruh dunia setakat jam 5 pagi ini waktu Malaysia. Ini bukan sekadar angka, tetapi di sebalik angka itu ialah nyawa yang amat berharga.

Lebih tepat lagi, ketika tulisan ini dilakarkan terdapat 102,667 kematian.

Itu menurut data yang dihimpun oleh worldometer.

Itali kekal menjadi negara dengan angka kematian tertinggi pada 18,849 kes.

Sedikit berita menggembirakan, 376,106 pesakit telah pulih.

Amerika Syarikat berada di kedudukan kedua dan dijangka mampu mengatasi angka kematian di Itali bila-bila masa sahaja apabila ketika ini mencatatkan 18,699 korban. 

Jumlah kes dijangkiti di AS ialah 501,880.

Itali merekodkan 18,849 kematian.

Sepanyol dan Perancis masing-masing mencatatkan kes kematian sebanyak 16,081 dan 13,197.

United Kingdom kini mencatatkan  8,958 kematian, bermaksud bila-bila masa akan mencecah 9,000. Mungkin tidak sampai sejam.

Lima negara mempunyai kes positif Covid-19 melebihi angka 100,000.

Singapura mencatatkan 2,108 kes dengan tujuh kematian.

Indonesia 306 kematian dengan 3,651 kes jangkitan — angka yang dikatakan jauh daripada kes sebenar kerana jumlah kes yang diuji amat rendah dan tidak menggambarkan realiti.

Malaysia sudah mencatatkan 4,346 kes dengan 70 kematian.

Ya, kita perlu terus berusaha dan berdoa. Tuhan, bebaskan kami daripada Corona-19 ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru