KUCHING: Ya, pelajar Sarawak yang kini berada di luar Sarawak, termasuk di Semenanjung boleh balik ke negeri ini  sendiri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Najkun, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, seperti individu lain, mereka perlu bersedia untuk dikuarantin selama dua minggu.

“Jika PKP ini dilanjutkan, para mahasiswa dibenarkan untuk pulang sendiri ke Sarawak tetapi perlu jalani kuarantin selama 14 hari,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Ketua Menteri telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri pagi tadi.

PKP yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac sepatutnya berakhir pada 14 April.

Tetapi berdasarkan trend dan jumlah jangkitan di negara ini, ada keperluan untuk PKP dilanjutkan.

Jika dilanjutkan lagi, ini akan turut memberi kesan kepada pelajar di universiti di negara ini.