MIRI: Syarikat Kumpulan Samling memberikan sumbangan mesin Polymerase Chain Reaction (PCR) dan alatan perubatan lain yang bernilai lebih RM400,000 kepada Hospital Miri.

Bantuan itu diserahkan kepada Pengarah Hospital Miri, Dr Jack Wong yang disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin di Wisma Syarikat Kumpulan Samling Miri semalam.

Difahamkan, sumbangan tersebut menjadikan Hospital Miri sudah dilengkapi dengan mesin PCR bagi menjalani ujian mengesan virus Covid-19.

Selain itu, Kim Shin memberitahu, bahawa syarikat Kumpulan Samling juga telah menanggung sepenuhnya kos pengubahsuaian makmal Hospital Miri kepada sebuah Makmal Molecular dengan kapasiti melakukan ujian PCR dan dijangka akan siap dalam masa dua minggu.

“Dengan adanya kemudahan makmal dan mesin PCR ini, Miri kini boleh menjalankan ujian bagi pengesanan virus Covid-19.

“Kita sudah boleh membuat pengesanan lebih awal, malah dengan mengetahui keputusan yang lebih pantas dan dapat mengambil tindakan segera agar pandemik ini tidak merebak,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan.

Beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Syarikat Kumpulan Samling dan semua syarikat dari seluruh negeri Sarawak yang bertanggungjawab dalam memberikan sumbangan.

“Ini menjadi satu contoh sebagai sebuah syarikat korporat prihatin, dan kerjasama erat bersama-sama Kerajaan Sarawak dalam usaha untuk membantu memerangi penularan Covid-19 ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Samling, Lawrence Chia turut mengumumkan sumbangan ini juga akan diserahkan kepada hospital umum di Bintulu, Sarikei, Lawas dan manamana hospital umum atau klinik kerajaan yang berhampiran.

Turut hadir, Menteri Muda Pelancongan Datuk, Sebastian Ting, dan Pemangku Residen Bahagian Miri, Abdul Aziz Mohd Yusuf.